Bekas Pengarah Maritim Malaysia Tanjung Sedili Diarah Bela Diri Terima Suapan RM10,000

18/12/2024 04:23 PM

JOHOR BAHRU, 18 Dis (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintah bekas Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili untuk membela diri kerana menerima suapan berjumlah RM10,000, empat tahun lepas.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Zulfadli Nayan, 43.

"Setelah mendengar dan menimbang semua keterangan, mahkamah memutuskan pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh. Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan tertuduh membela diri," katanya.

Peguam yang mewakili tertuduh, Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazali berkata pihaknya akan mengemukakan antara tujuh atau lapan saksi ketika prosiding bela diri yang dijadualkan selama tujuh hari iaitu 8, 13 dan 14 Jan; 17 dan 20 Feb serta 3 dan 4 Mac, tahun depan.

Ahmad Kamal Arifin kemudian memerintahkan agar jaminan tertuduh dilanjutkan sehingga tarikh prosiding pembelaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zander Lim Wai Keong.

Pada 23 Mei 2021, tertuduh yang kini digantung tugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Hubungan dan Koordinasi Antarabangsa Ibu Pejabat Maritim Malaysia mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Zulfadli didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM10,000 daripada pemilik syarikat perkapalan, Wan Mohd Fauzi Wan Kamaruddin di sebuah restoran di Jalan Yahya Awal, di sini pada pukul 10 malam, 2 Okt 2020.

Mohd Zulfadli didakwa menggunakan jawatannya ketika itu untuk tidak mengambil tindakan terhadap siasatan kapal MT Singa Gangsa milik Alamgala Resources Sdn Bhd yang ditahan KM Mulia, Maritim Malaysia Zon Maritim Tanjung Sedili pada 17 Sept 2020.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan