EKONOMI > BERITA

MRL, CCCECRL Jalin Usaha Sama Pengoperasian, Penyelenggaraan Projek ECRL

18/12/2024 06:56 PM

PUTRAJAYA, 18 Dis (Bernama) -- Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL) hari ini secara rasmi mewujudkan sebuah syarikat operasi (OpCo) dengan nisbah kepentingan 50:50 bagi tujuan pengoperasian dan penyelenggaraan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Perkara itu dipersetujui pada majlis pemeteraian perjanjian usaha sama antara MRL dan CCCECRL bagi pengoperasian dan penyelenggaraan rangkaian rel ECRL di sini. Ia disaksikan Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing. 

Dalam ucapan pada majlis itu, Loke berkata perjanjian usaha sama tersebut membolehkan kedua-dua pihak berkongsi kos untuk operasi ECRL serta memudahkan pertukaran pengetahuan teknikal dan kepakaran. 

“MRL dan CCCECRL, masing-masing akan menanggung 50 peratus daripada risiko dalam OpCo jika ECRL beroperasi dengan defisit.

“MRL akan memiliki sepenuhnya aset ECRL bagi pihak kerajaan Malaysia sepanjang fasa pengoperasian ECRL bagi memastikan kepentingan negara dilindungi setiap masa dan membolehkan pemerkasaan tempatan dalam infrastruktur nasional ini,” katanya.

MRL merupakan pemilik projek ECRL manakala CCCC bertanggungjawab sebagai kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC).

Pada awal tahun ini, mesyuarat Kabinet telah memberi lampu hijau kepada penubuhan OpCo bagi tujuan pengoperasian dan penyelenggaraan ECRL yang turut berpotensi meringankan beban kewangan kerajaan.

Beliau berkata perjanjian usaha sama itu memacu hala tuju infrastruktur nasional dalam memperkukuh perkhidmatan pengangkutan yang moden, efisien dan mesra alam demi kesejahteraan rakyat dan meningkatkan daya saing ekonomi negara.

  “Perjanjian ini sejajar dengan hasrat kerajaan dalam memperkasakan sektor rel negara untuk memperbanyakkan perkhidmatan kereta api serta membuka peluang pekerjaan bagi golongan belia khususnya berkaitan bidang kejuruteraan dalam sektor perindustrian dan lokomotif,” katanya.

Loke berkata status projek ECRL telah mencapai tahap kemajuan keseluruhan yang membanggakan, iaitu sebanyak 76.06 peratus setakat November 2024. 

“Kemajuan ini telah mencecah sasaran projek ECRL untuk tahun ini. Ia selari dengan jadual penyiapan jajaran fasa pertama dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak pada Disember 2026 manakala jajaran fasa kedua antara Gombak dan Pelabuhan Klang menjelang Disember 2027,” katanya.

  Mengenai rumah yang terjejas banjir akibat projek ECRL, beliau berkata perkara itu akan diteliti dan diuruskan oleh pihak kontraktor.

“Sudah tentu, dalam mana-mana pembinaan, kita akan menghadapi cabaran operasi dan pembinaan. 

“Sebarang kawasan yang mudah dilanda banjir perlu diberi perhatian oleh MRL dan mana-mana rumah yang terjejas, semestinya akan diuruskan oleh pihak kontraktor,” katanya.

Ditanya sama ada projek ECRL akan diperluas ke Thailand, Loke berkata secara peribadi beliau berharap projek itu dapat dihubungkan ke negara berkenaan.

 “Kami berharap projek itu dapat dihubungkan dengan Thailand. Ia sudah sampai Kota Bharu dan hanya kira-kira 20 kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand di Rantau Panjang. 

“Oleh itu, sudah tentu, harapan kami, terutamanya Kementerian Pengangkutan, kami mahu menghubungkannya dengan Thailand. Ini kerana ia kemudiannya akan menghubungkannya dengan seluruh rangkaian kereta api di Thailand,” katanya.

Projek ECRL sepanjang 665 kilometer itu melibatkan 59 terowong dan kerja-kerja pembinaan merangkumi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Perjanjian usaha sama itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRL Datuk Seri Darwis Abdul Razak dan Pengarah Urusan CCCECRL Kong Qi.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah MRL.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan