EKONOMI > BERITA

Kyndryl Inc Berpangkalan Di AS Buka Pejabat Baharu Di Malaysia

19/12/2024 05:35 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan infrastruktur teknologi maklumat berpangkalan di Amerika Syarikat, Kyndryl Inc, membuka pejabat baharu di sini sekali gus membuktikan komitmennya terhadap pelanggan tempatan.

Dalam kenyataan pada Khamis, Kyndryl menjelaskan pencapaian itu turut menekankan komitmennya untuk memperkukuh usaha menjadikan Malaysia sebagai hab ASEAN bagi pemodenan kerangka utama.

“Pejabat baharu ini akan menjadi pusat operasi Kyndryl di Malaysia dan menyokong misi untuk menyumbang kepada ekonomi digital negara.

“Kyndryl melabur dalam pembangunan kemahiran tempatan dan pembinaan keupayaan pelanggan dalam bidang utama seperti automasi, awan, kecerdasan buatan, serta keselamatan dan daya tahan siber,” menurutnya.

Syarikat itu juga menjalinkan perkongsian strategik untuk menyediakan akses kepada pelbagai teknologi dan keupayaan bagi pelanggannya di ASEAN.

Awal tahun ini, Kyndryl melancarkan Pusat Kecemerlangan Pemodenan Kerangka Utama ASEAN yang pertama di Malaysia, tambahnya.

Menurut Kyndryl, pusat kecemerlangan itu secara keseluruhannya dipacu oleh rakyat tempatan Malaysia.

Pusat tersebut memberikan perkhidmatan kepada perniagaan di seluruh ASEAN dengan menawarkan panduan strategik dan kepakaran kerangka utama untuk membantu perusahaan mengemas kini, memodenkan, dan memindahkan aplikasi kerangka utama legasi ke persekitaran asli awan, menurutnya.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata keputusan Kyndryl memilih negara ini untuk menempatkan pusat Kecemerlangan serantau dan hab ASEAN mereka untuk pemodenan kerangka utama membuktikan landskap pelaburan yang kondusif di Malaysia.

“Jelas sekali, kekukuhan asas negara, infrastruktur digital dan fizikal yang mantap, usaha berterusan untuk mempermudah perjalanan pelabur, serta ketertiban undang-undang telah mewujudkan tawaran nilai yang menarik bagi pelabur global untuk menubuhkan pangkalan operasi mereka di Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Beliau berkata kehadiran Kyndryl juga akan merintis jalan untuk kerjasama strategik dengan syarikat lain, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, dalam ekosistem industri Malaysia, sejajar dengan pencapaian yang disasarkan oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

“Kami berharap dapat menyokong pertumbuhan perniagaan Kyndryl dan mengalu-alukan lebih banyak syarikat untuk menempatkan hab serantau mereka di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan