KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) serta Pameran Industri Pembinaan dan Bangunan Antarabangsa Malaysia (BuildXpo) 2024 berjaya mencatatkan sasaran nilai perdagangan sebanyak RM654.4 juta tahun ini.
Ini menunjukkan lonjakan sebanyak 32 peratus berbanding RM494.3 juta yang dicatat pada penganjuran 2023.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia, Ir Yusuf Abd Wahab berkata ICW & BuildXpo 2024 adalah bukti usaha gigih CIDB untuk memajukan industri pembinaan Malaysia.
"Pencapaian rekod kami mencerminkan pengiktirafan global yang semakin meningkat terhadap keupayaan pembinaan Malaysia serta komitmen kukuh kami terhadap inovasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIDB Malaysia Zainora Zainal berkata melalui inisiatif seperti "Pelan Hala Tuju Pembinaan 4.0" dan promosi sistem binaan berindustri, CIDB sedang merangka laluan transformasi untuk sektor pembinaan Malaysia.
"ICW & BuildXpo 2024 mengesahkan visi strategik kami dan menggariskan peranan kritikal sektor itu dalam memacu pertumbuhan ekonomi," katanya.
Menurut kenyataan CIDB, acara serantau yang diadakan pada 22 hingga 24 Oktober itu dianjurkan oleh Kementerian Kerja Raya dan disusun oleh CIDB Malaysia serta diuruskan oleh Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd.
Acara tersebut mempamerkan kepimpinan negara dalam kecemerlangan pembinaan dengan menghimpunkan hampir 15,000 profesional, pembuat dasar dan penggiat inovasi bersama 200 pempamer dari 20 negara.
"Daripada robotik maju hingga sistem bangunan pintar generasi akan datang dan teknologi pencetakan tiga dimensi (3D), ICW & BuildXpo 2024 meletakkan Malaysia sebagai hab utama untuk inovasi pembinaan," katanya.
Acara ini disokong oleh tiga perjanjian utama yang akan membentuk masa depan sektor pembinaan Malaysia iaitu kerjasama akreditasi pemodelan maklumat bangunan bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, kerjasama strategik dengan PlanRadar dan memorandum persefahaman perintis dengan Wenma Scaffolding Solutions and Services Malaysia.
"ICW & BuildXpo 2024 turut menyaksikan lapan dokumen persefahaman ditandatangani bersama rakan kongsi dari Australia, China, Hong Kong, Korea, Norway dan Sepanyol.
"Perjanjian-perjanjian ini yang diunjurkan memberikan nilai antara RM20 juta hingga RM30 juta dalam tempoh tiga tahun merangkumi pemindahan teknologi, program latihan lanjutan dan metodologi pembinaan termaju," kata kenyataan itu.
Program sumber antarabangsa daripada acara itu juga mencatatkan kejayaan besar serta menghasilkan nilai perdagangan sebanyak RM152.2 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial