Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sedang menjalankan semakan menyeluruh terhadap produktivitinya bagi menyelaraskan kaedah kerjanya, menghapuskan ketidakcekapan serta memberi tumpuan kepada usaha yang memberi nilai dan boleh diukur.
Syarikat minyak nasional itu berkata inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmennya untuk melaksanakan strategi peralihan tenaga sambil memberikan penambahbaikan berterusan dengan menjadi lebih fokus kepada operasi, tangkas secara komersial dan menjimatkan kos.
"Seiring dengan pelaksanaan mandatnya seperti yang termaktub dalam PDA 1974, Petronas kekal komited untuk terus mencipta nilai bagi para pemegang sahamnya.
“Bagi mencapai matlamat ini, ia perlu memastikan dapat terus bersaing dan berkembang dalam landskap sektor tenaga yang sentiasa berubah, baik di peringkat domestik mahupun global," katanya kepada Bernama.
Petronas berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Bernama berhubung laporan berita mengenai kumpulan tersebut yang dijangka mengalami kehilangan perolehan sekitar 30 peratus sebaik sahaja formula yang dipersetujui untuk pengagihan gas asli di Sarawak dilaksanakan.
Laporan berita itu menyebut firma minyak dan gas negara yang berdiri sebagai satu-satunya syarikat Malaysia yang berjaya masuk ke dalam senarai Global Fortune 500, mungkin terpaksa membuat beberapa keputusan sukar berhubung tenaga kerjanya kerana perjanjian pengedaran gas, butirannya masih belum didedahkan kepada umum.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial