Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid dan Mikhail Raj Abdullah
KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) – Kepakaran Malaysia dalam produk-produk makanan halal yang disertai input bahan mentah pertanian premium Peru seperti quinoa, biji chia dan kacang gajus, menawarkan potensi besar bagi peluang usaha sama (JV) antara kedua-dua negara.
Duta Besar Peru ke Malaysia Ricardo Estanislao Morote Canales berkongsi mengenai peluang itu selain faktor kelebihan logistik yang ditawarkan oleh Pelabuhan Chancay, Peru.
Dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini, beliau berkata kesemua produk itu boleh dieksport ke pasaran global, termasuk ke Amerika Selatan, Timur Tengah, China dan Asia Tenggara menerusi Pelabuhan Chancay.
Pintu masuk itu yang juga antara pelabuhan pintar paling maju di Amerika Selatan, juga menawarkan laluan perkapalan secara terus ke Asia dan mampu mengurangkan kos pengangkutan sehingga 20 peratus.
“Ini menjadikannya sebagai sebuah hab strategik untuk firma Malaysia melakukan eksport yang cekap kos ke Amerika Selatan, Afrika dan Asia.
“Pelabuhan Chancay yang dibangunkan menggunakan teknologi China, turut menjadi penghubung Peru dan hab serantau menerusi sebuah terowong ke Lebuhraya Pan American selain dihubungkan terus ke ibu negara Lima,” katanya.
Membangunkan ekosistem halal
Asas usaha sama Malaysia-Peru ini diketengahkan selepas kedua-dua negara memeterai memorandum persefahaman bagi pembangunan ekosistem halal dan rangka kerja pensijilan halal sewaktu lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Lima pada 13 November lepas.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, berada di Lima bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang dihoskan oleh Peru.
Rangka kerja itu yang dijangka memakan masa sehingga dua tahun untuk dimuktamadkan, bertujuan membolehkan pengeluaran produk diperakui halal untuk dieksport ke pasaran yang mencatat permintaan tinggi.
"Kerjasama ini tidak hanya membolehkan syarikat Malaysia mengembangkan lagi jejak dalam industri halal tetapi turut memastikan rantaian bekalan yang stabil untuk tujuan pengedaran global," katanya.
Canales berkata lokasi strategik pelabuhan dan operasinya yang maju itu juga bersifat transformatif, sekali gus dapat mengurangkan kos logistik sehingga 30 peratus dan menawarkan peluang kepada firma Malaysia untuk mewujudkan kemudahan pengeluaran berhampiran pelabuhan berkenaan.
Di samping itu, inisiatif JV pula bertujuan menjamin rantaian bekalan, mengurangkan kos pengeluaran selain meningkatkan akses ke pasaran baharu bagi produk halal dan bukan halal.
“Inisiatif ini saling menguntungkan bagi kedua-dua negara memandangkan Malaysia membawa bersama kepakaran halal bertaraf dunia manakala Peru menawarkan input pertanian premium serta gerbang strategik ke pasaran global,” katanya.
Peluang kerjasama pelaburan, infrastruktur
Canales berkata kerjasama itu turut merangkumi peluang pembangunan infrastruktur di Peru, terutama di taman perindustrian berhampiran dengan Pelabuhan Chancay.
"Kawasan ini menyediakan input yang kompetitif untuk pengeluaran dan pada kedudukan strategik untuk eksport.
"Ini memberi peluang kepada syarikat Malaysia untuk mewujudkan asas pengeluaran yang kukuh, terutama dalam sektor seperti pembuatan elektronik dan elektrik, pemprosesan makanan dan farmaseutikal," katanya.
Peru juga giat menggalakkan pelaburan asing dengan menawarkan insentif, mengiktiraf kepakaran Malaysia dalam bidang elektronik dan kepimpinannya dalam eksport global seperti minyak sawit yang mendapat permintaan bagi tujuan pengeluaran biodiesel dan kosmetik di Peru, kata Canales.
Beliau berkata bidang kerjasama lain turut ditumpukan, termasuk JV dalam pengeluaran semikonduktor dengan memanfaatkan kepakaran Malaysia dalam elektronik selain kemungkinan membangunkan kemudahan pembuatan sarung tangan getah di Peru dengan bahan mentah dan teknologi Malaysia.
“Kerjasama ini mengetengahkan visi global kedua-dua negara dengan penekanannya tidak hanya bagi keperluan pasaran tempatan tetapi dapat disepadukan bagi pasaran lebih luas dan berdaya saing,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial