EKONOMI > BERITA

Pertumbuhan Ekonomi Kukuh Cerminan Kejayaan Bersama - PM Anwar

03/01/2025 11:48 AM

PUTRAJAYA, 3 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa syukur atas pencapaian ekonomi negara yang mencatat pertumbuhan memberangsangkan setakat ini, hasil usaha bersama pasukan kepimpinan dan penjawat awam di semua peringkat.

Beliau berkata kejayaan ini mencerminkan ketekunan dan pengorbanan semua pihak, daripada pengurusan tertinggi hingga petugas di lapangan.

“Kita mesti iktiraf jasa semua, termasuk mereka di sempadan, di perbatasan dan juga petugas tidak beruniform. Inilah kejayaan bersama, bukan hanya milik satu pihak,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Berdasarkan prestasi memberangsangkan pada 2024, ahli ekonomi dilaporkan menjangka ekonomi Malaysia akan terus berkembang positif pada 2025, dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) diunjur mencecah sehingga 6.0 peratus.

Perdana menteri baru-baru ini berkata KDNK Malaysia berada di landasan yang betul untuk berkembang antara 4.8 peratus dan 5.3 peratus, didorong oleh peningkatan perbelanjaan isi rumah.

KDNK Malaysia meningkat 4.2 peratus, 5.9 peratus dan 5.3 peratus masing-masing pada suku pertama, kedua dan ketiga 2024, menjadikan pertumbuhan bagi sembilan bulan pertama tahun lepas sebanyak 5.2 peratus, meningkat daripada 3.8 peratus dalam tempoh yang sama pada 2023.

Angka bagi suku keempat dan keseluruhan 2024 dijadual diumumkan pada 14 Feb nanti.

Anwar seterusnya menekankan kepentingan mengurangkan jurang pendapatan dalam kalangan penjawat awam, dengan menyifatkan perubahan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sebagai langkah penting ke arah keadilan ekonomi.

“Kenaikan signifikan bagi mereka di peringkat bawah mencerminkan keadilan yang sebenar. Peratusan kenaikan tidak selalu menunjukkan impak sebenar, tetapi lonjakan pendapatan ini adalah lebih adil,” katanya.

Beliau menambah bahawa pendekatan itu turut diperluaskan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pelaburan (GLIC), sambil menggesa syarikat swasta yang meraih keuntungan besar untuk memberikan gaji lebih setimpal kepada pekerja.

“Kerangka Malaysia MADANI menekankan keadilan sejagat, kejayaan negara diukur bukan hanya dari segi ekonomi tetapi juga aspek akhlak, moral, dan pengurusan yang baik.

“Perkhidmatan awam kita mesti menjadi model komuniti yang beretika, berakhlak, dan bertanggungjawab. Kejayaan negara ini tidak boleh hanya bergantung kepada budaya selesa tetapi memerlukan usaha berterusan untuk melonjakkan kekuatan kita sebagai sebuah negara besar,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan