EKONOMI > BERITA

Trafik Penumpang Udara Naik Kepada 8 Juta Pada November 2024 - MAVCOM

02/01/2025 02:39 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Sektor penerbangan Malaysia telah mengalami pemulihan dan pertumbuhan mampan dengan trafik penumpang udara mencecah 8.0 juta penumpang pada November 2024, menandakan peningkatan 15.8 peratus tahun ke tahun yang kukuh berbanding November 2023.

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dalam satu kenyataan hari ini berkata trafik penumpang pada November 2024 mewakili trend pemulihan konsisten dilihat sepanjang 2024.

Pertumbuhan tahun ke tahun didorong kebanyakannya oleh kenaikan dalam perjalanan antarabangsa, disokong oleh pembukaan laluan baharu dan penambahan kapasiti tempat duduk.

MAVCOM juga berkata trafik penumpang udara domestik pada November 2024 melonjak sebanyak 10.9 peratus tahun ke tahun kepada 3.8 juta penumpang, menyumbang 47.5 peratus daripada jumlah trafik penumpang udara.

Pada masa sama, trafik penumpang udara antarabangsa meningkat sebanyak 20.7 peratus tahun ke tahun kepada 4.2 juta penumpang pada November 2024.

Ia berkata pertumbuhan itu didorong secara seimbang antara rantau ASEAN dan bukan ASEAN, masing-masing menyumbang 2.1 juta penumpang.

Sementara itu, lapangan terbang utama di Malaysia mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang kukuh pada November 2024 untuk laluan domestik dan antarabangsa terutamanya Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun tertinggi iaitu pada 42.1 peratus.

Lapangan terbang lain yang turut mencatatkan pertumbuhan tinggi adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (+18.2 peratus), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (+13.2 peratus), Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (+14.9 peratus), Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (+8.1 peratus), Antarabangsa Kuching Lapangan Terbang (+9.7 peratus) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (+12.8 peratus).

Sepanjang 11 bulan pertama tahun 2024, jumlah trafik penumpang mencapai 88.3 juta penumpang, meletakkan Malaysia di landasan tepat untuk mencapai unjuran trafik penumpang MAVCOM bagi sepanjang tahun iaitu antara 95.4 juta hingga 97.6 juta penumpang.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata beliau yakin momentum itu akan berterusan pada 2025, MAVCOM kekal komited untuk memacu industri penerbangan yang mampan dan berdaya tahan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kualiti perkhidmatan sektor penerbangan dan memastikan hak pengguna penerbangan senantiasa dilindungi.

-- BERNAMA  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan