KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Kumpulan AmBank meluluskan kemudahan pembiayaan berjumlah RM498.6 juta kepada Projek Tetap Teguh Sdn Bhd (ProTT) bagi pembangunan sistem penyimpanan dan pengambilan automatik (ASRS) gudang di Valdor, Pulau Pinang.
ProTT yang juga anak syarikat PTT Synergy Group Bhd (PTT), akan memanfaatkan dana itu bagi membiayai kos tanah, pembinaan dan peralatan gudang berkenaan.
Projek itu dijangka siap menjelang separuh pertama 2026 dan apabila siap kelak, ASRS akan mempunyai kapasiti 47,320 kedudukan palet, kata kenyataan bersama AmBank dan PTT hari ini.
Teknologi ASRS itu membolehkan pennyampaian penyelesaian kos efektif yang meningkatkan penggunaan mesin dan kecekapan proses.
Pengarah Urusan Kumpulan PTT Teo Swee Phin berkata projek itu menjadi asas kepada visi kumpulan dalam memacu sektor perindustrian dan logistik Malaysia ke masa depan.
“Kami yakin projek itu akan menjadi penanda aras untuk pembangunan hartanah perindustrian di Malaysia selain dapat mengukuhkan lagi kepimpinan kami dalam penyelesaian logistik pintar,” katanya.
Sementara itu, Kumpulan AmBank menyifatkan kerjasama itu dapat memperkukuh peranan strategik AmBank dalam menyokong pelanggan dengan penyelesaian kewangan yang inovatif sambil memacu pembangunan perindustrian dan ekonomi Malaysia ke hadapan.
“Perkembangan ini seterusnya menunjukkan keupayaan mereka untuk menyampaikan penyelesaian industri secara sepenuhnya mengikut keinginan pelanggan selain mengesahkan komitmen mereka untuk memacu agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya.
Gudang yang dilengkapi dengan kemudahan Internet Kebendaan (IoT) serta teknologi kecerdasan buatan (AI) komprehensif, akan disewakan kepada pengeluar semikonduktor yang juga syarikat multinasional yang berpangkalan di Pulau Pinang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial