EKONOMI > BERITA

MRT Corp Anugerah Kontrak Sivil Utama LRT Laluan Mutiara Kepada SRS Consortium

13/01/2025 06:07 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), hari ini menandatangani perjanjian Kontrak Sivil Utama (CMC) bagi Segmen 1 Projek LRT Laluan Mutiara bersama SRS Consortium Sdn Bhd yang bernilai RM8.31 billion. 

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata CMC Segmen 1 Projek LRT Laluan Mutiara itu akan menghubungkan Pulau Reklamasi Selatan Pulau Pinang-A (PSR-A) ke KOMTAR dengan anggaran jajaran sepanjang 24 kilometer.

"SRS Consortium memiliki pengalaman dan kepakaran luas dalam projek ini, di atas keterlibatan mereka sejak awal projek, termasuk kajian teknikal serta dalam mendapatkan kelulusan penting. 

"Proses rundingan perolehan antara MRT Corp dan SRS Consortium yang berlangsung sejak April 2024 telah dijalankan dengan penuh teliti dan menyeluruh," katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis permeteraian tersebut, di sini, hari ini.

SRS Consortium merupakan konsortium yang diketuai Gamuda Bhd bersama Loh Phoy Yen Holdings Sdn Bhd dan Ideal Property Development Sdn Bhd yang juga terlibat sebagai Project Delivery Partner (PDP) untuk Penang Transport Master Plan (PTMP). 

Mengulas lanjut, Loke berkata, Projek LRT Laluan Mutiara merangkumi tiga pakej tender Utama iaitu CMC Segmen 1, CMC Segmen 2 dan Kontrak Sistem Turnkey (STC).

Menurutnya, segmen 2 (CMC Pakej 2) merangkumi sambungan dari Macallum ke Penang Sentral sepanjang kira-kira 6 kilometer melibatkan pembinaan jejambat merentasi laut sepanjang 3.2 kilometerr dengan rentang navigasi yang membolehkan kapal dan feri berlayar dengan lancar ke pelabuhan di Prai dan Butterworth.

"Tender bagi CMC Pakej 2 dijangka dibuka pada Julai 2025 menerusi proses tender terbuka," katanya.

Mengenai STC, Loke berkata kontrak itu akan merangkumi reka bentuk, perolehan, pembinaan, ujian dan penyelenggaraan sistem kereta api bagi projek berkenaan.

"Taklimat tender pertama bagi STC yang diadakan pada 12 Dis, 2024 di Pulau Pinang mendapat sambutan yang sangat positif daripada syarikat tempatan dan antarabangsa.

"Tender dibuka secara rasmi pada 13 Dis 2024 dan penyerahan tender akan ditutup pada 14 April, 2025, manakala tender taklimat yang kedua akan diadakan di Kuala Lumpur pada 14 Jan, 2025," katanya. 

Pada 11 Jan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang, yang merangkumi 21 stesen di lokasi strategik termasuk satu stesen provisional di PSR-A dan meliputi jajaran keseluruhan sepanjang 29.5 kilometer

Sementara itu, dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, Gamuda berkata tempoh projek itu dijangka selesai sekitar 72 bulan daripada pada notis permulaan kerja.

"Kerja-kerja tersebut melibatkan reka bentuk, pembinaan dan penyiapan laluan bertingkat, stesen, depoh di PSR-A untuk penyelenggaraan ringan dan berat, struktur sampingan, parkir, pemindahan utiliti dan perkhidmatan, bangunan utiliti, kerja permukaan luaran,dan kerja-kerja lain yang berkaitan.

"Projek Laluan LRT Mutiara Pulau Pinang dijangka memberi sumbangan positif kepada hasil dan pendapatan kumpulan Gamuda bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai, 2025 dan seterusnya sehingga projek tersebut siap," katanya.

 

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan