EKONOMI > BERITA

ADIA Akan Main Peranan Penting Dalam Transformasi MAHB - Tengku Zafrul

13/01/2025 10:32 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) akan memainkan peranan penting dalam transformasi dan pelaksanaan penstrukturan semula ​​Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

ADIA, salah satu dana kekayaan terbesar di dunia dengan aset dianggarkan melebihi US$1 trilion, memberi sumbangan penting termasuk kerjasama dengan Global Infrastructure Partners (GIP) dalam usaha penstrukturan semula MAHB, selain pelaburan dalam projek infrastruktur utama yang menyokong pertumbuhan mampan negara,

Menerusi hantaran di laman Instagram beliau pada Isnin, Tengku Zafrul berkata ADIA menyatakan komitmen untuk terus mempertingkat pelaburannya di Malaysia dan mencipta nilai lebih besar bagi memastikan kejayaan pelaburannya di negara ini dalam pelbagai sektor termasuk transformasi MAHB.

Beliau berkata ADIA berminat untuk meneroka lebih jauh peluang pelaburan di Malaysia. Sentimen ini turut dikongsi oleh pengarah urusan Sheikh Hamed Zayed Al Nahyan dan pemimpin lain seperti Khalil Foulathi dan Mohamed Al Ameri pada pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Abu Dhabi semasa lawatan kerja tiga hari perdana menteri ke Emiriah Arab Bersatu (UAE). 

Di peringkat global ADIA memainkan peranan penting dalam sektor infrastruktur, kesihatan dan tenaga. ,Antara pelaburan utama syarikat itu di peringkat antarabangsa termasuk lapangan terbang di United Kingdom dan Perancis, Pelabuhan Khalifa di Emiriah Arab Bersatu (UAE), serta projek infrastruktur logistik di India dan tenaga di Amerika Syarikat.

Mengenai penstrukturan semula ​​MAHB, setakat 8 Jan, 2025, Gateway Development Alliance Sdn Bhd (GDA) dan pemegang sahamnya (konsortium) telah menerima penerimaan tawaran yang sah sebanyak 1.40 bilion saham, mewakili 84.1 peratus daripada jumlah saham terbitan dalam MAHB.

Tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat itu dibuat melalui GDA, dan pemberi tawaran bersama ialah Gateway Development Alliance Sdn Bhd, Pantai Panorama Sdn Bhd, Kwasa Aktif Sdn Bhd, dan GIP Aurea Pte Ltd.

GDA ialah konsortium yang bercadang untuk melakukan penstrukturan semula MAHB, terdiri daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), UEM Group Bhd yang disokong Khazanah Nasional Bhd, ADIA dan GIP milik BlackRock.

GDA berhasrat untuk menaik taraf dan memodenkan operasi MAHB, meningkatkan perkhidmatan penumpang, meningkatkan ketersambungan syarikat penerbangan dan pertumbuhan trafik.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan