KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- U Mobile Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan CIMB Bank Bhd untuk melanjutkan sokongan pembiayaan bagi pelancaran rangkaian 5G yang akan datang.
MoU itu merupakan perkongsian pembiayaan terbaharu antara U Mobile dan CIMB, yang mana, pada 2021, bank itu menyediakan pembiayaan berjumlah RM1.2 bilion kepada U Mobile, yang kemudiannya dinaikkan kepada RM1.4 bilion pada 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile Wong Heang Tuck berkata CIMB merupakan rakan pembiayaannya yang telah lama menjalin kerjasama dengan syarikat itu dan berkongsi komitmen untuk memacu inovasi dan pertumbuhan dalam ekonomi negara melalui 5G.
Beliau berkata, langkah itu sejajar dengan matlamat kerajaan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi dengan tumpuan kepada pendigitalan.
"Kami percaya sokongan kewangan CIMB akan mengukuhkan lagi keupayaan U Mobile untuk memastikan pelancaran rangkaian 5G kedua yang pantas dan cekap dari segi kos, yang akan membawa manfaat kepada perusahaan, pengguna dan sektor awam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MoU ini adalah susulan daripada pelantikan U Mobile baru-baru ini sebagai penyedia rangkaian 5G kedua Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial