GEORGE TOWN, 16 Jan (Bernama) -- Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) telah mengumumkan 12 inisiatif strategik termasuk rangka kerja Entiti Perniagaan ASEAN (ABE) untuk meningkatkan integrasi ekonomi, keterangkuman dan kerjasama serantau.
Pengerusi ASEAN-BAC Malaysia Tan Sri Nazir Razak menekankan kepentingan rangka kerja ABE yang menyeru kerajaan negara anggota ASEAN mewujudkan kategori perniagaan baharu dengan memberikan syarikat terpilih fleksibiliti operasi lebih besar di rantau ini.
Nazir yang juga pengerusi ASEAN-BAC 2025 berkata inisiatif ABE bertujuan memperkenalkan klasifikasi baharu syarikat sebagai ABE, membolehkan mereka mempunyai kelebihan operasi seperti pergerakan bebas pekerja dan operasi.
“Idea di sebalik ABE ialah kerajaan di setiap negara anggota ASEAN boleh mengenal pasti syarikat yang layak dipilih sebagai ABE. Selepas dikenal pasti, kerajaan boleh memberi mereka fleksibiliti tambahan. Sebagai contoh, jika Maybank dianggap sebagai ABE di Malaysia, kami berharap kerajaan akan membenarkan Maybank untuk membenarkan pergerakan kakitangan untuk memasuki dan keluar Malaysia.
“Untuk kami membina perniagaan di seluruh ASEAN, kami memerlukan fleksibiliti ini. Apabila bekerja dengan Kumpulan Maybank di ASEAN, ia sepatutnya mudah untuk orang ramai bergerak dengan bebas. Selain itu, ia melibatkan pergerakan operasi penyumberan luar. Jika syarikat anda dipilih sebagai ABE, anda boleh mempunyai jabatan teknologi maklumat anda di negara lain tanpa sekatan. Kebebasan ini bermanfaat untuk perniagaan, itulah sebabnya kami mendesak bagi merealisasikan inisiatif ini,” katanya.
Nazir berkata demikian pada sidang media sempena Mesyuarat Majlis ASEAN-BAC ke-102 dan Mesyuarat Majlis Bersama ke-25 yang menghimpunkan wakil dari negara anggota ASEAN dan rakan ekonomi global termasuk Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Kanada, Australia, New Zealand dan lain-lain.
Beliau mengetengahkan beberapa inisiatif utama termasuk Inisiatif Pasaran Modal Persendirian ASEAN, Prospektus IPO ASEAN, Pembangunan Bakat dan Mobiliti ASEAN, Rangka Kerja Karbon Bersama ASEAN, Platform Pertukaran Digital Malaysia, Inisiatif Sambung B2B, Inisiatif Identiti ASEAN dan Rangka Kerja Filantropi Korporat ASEAN.
Selain itu, Kolektif Kepelbagaian, Ekuiti dan Rangkuman ASEAN (DEI); Kerjasama Advokasi Pelaporan Kemampanan ASEAN; dan Platform Penglibatan Kecerdasan Buatan (AI) Serantau dan Kebangsaan juga merupakan sebahagian daripada inisiatif ASEAN-BAC.
Di bawah Inisiatif Pasaran Karbon ASEAN, Nazir mengumumkan pelancaran Persatuan Pasaran Karbon Malaysia, bertujuan untuk bekerjasama dengan rakan serantau dan berusaha ke arah mewujudkan piawaian ASEAN yang sama untuk kredit karbon.
Beliau seterusnya menjelaskan bahawa Prospektus IPO ASEAN, menawarkan syarikat yang mahu menyenaraikan syarikat mereka di bursa saham negara masing-masing pilihan untuk menggunakan Prospektus ASEAN.
Platform Pertukaran Digital menumpukan kepada membangunkan platform pertukaran perdagangan digital baharu untuk syarikat Malaysia, pada masa sama bekerjasama dengan bahagian ASEAN-BAC yang lain untuk berhubung dengan platform nasional masing-masing.
Dalam pada itu, Nazir turut membincangkan Rangka Kerja Filantropi Korporat ASEAN, berperanan dalam mengkaji amalan terbaik dalam kedermawanan korporat di seluruh rantau ini.
Matlamatnya adalah untuk menambah baik peraturan, pengawalan dan insentif cukai untuk menyalurkan lebih banyak dana korporat ke arah membantu mereka yang memerlukan.
ASEAN-BAC turut mengumumkan 33 perkongsian dan tiga memorandum persefahaman (MoU).
MoU pertama ditandatangani antara Sime Darby Property (Malaysia) dan YCH Group (Singapura) untuk meneroka peluang kerjasama strategik dalam membangunkan hab logistik bersepadu dan penyelesaian hartanah di Malaysia, Vietnam dan pasaran ASEAN yang lain.
MoU kedua adalah antara Bornion Green Sdn Bhd (Malaysia) dan Yovel East Research and Development Inc (Filipina), bertujuan untuk menubuhkan ladang durian Musang King di Filipina, memanfaatkan musim penuaian durian berbeza di kedua-dua negara untuk memenuhi permintaan global pada sepanjang tahun.
MoU ketiga, antara Majlis Perniagaan Kanada-ASEAN dan ASEAN-BAC, memfokuskan kepada meningkatkan perdagangan dan pelaburan antara ASEAN dan Kanada khususnya menerusi Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada (ACAFTA).
Antara rakan kongsi kumpulan kerja ASEAN-BAC ialah Bursa Malaysia Bhd, Capital A Bhd, Kumpulan CIMB, Dagang NeXchange Bhd (DNeX), Ikhlas Capital dan Malayan Banking Bhd.
Rakan kongsi pengetahuan pula adalah Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dan Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur (ERIA).
Tema ASEAN-BAC iaitu ‘Menyatukan Pasaran untuk Kemakmuran Bersama’ seiring dengan rangka kerja Kerajaan MADANI dan tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial