EKONOMI > BERITA

Bank Islam Sasar 800 Langganan Kad Kredit-i Mastercard World Premier Wealth Tahun Ini

18/01/2025 12:48 AM

KUALA LUMPUR, Jan 17 (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Bhd menyasarkan 800 langganan Kad Kredit-i Bank Islam Mastercard World Premier Wealth yang baru dilancarkannya menjelang akhir tahun ini.

Pengarah Pengurusan Kekayaan Bank Islam Datin Zaharah Muttalib berkata produk baharu itu disasarkan kepada pelanggan mewahnya. 

"Premier Wealth sebenarnya adalah platform untuk pelanggan individu kami yang bernilai tinggi di Bank Islam, disesuaikan untuk pelanggan dengan Aset Di Bawah Pengurusan (AUM) sebanyak RM250,000.

"Dengan itu, mereka akan layak menjadi pelanggan Premier Wealth," katanya pada majlis pelancaran kad itu, di sini, hari ini.

Sementara itu, menerusi satu kenyataan hari ini Bank Islam berkata kad kredit eksklusif hanya melalui jemputan itu menyediakan gabungan unik keistimewaan dan manfaat yang kompetitif.

"Bank menyediakan ganjaran 5,000 mata Enrich kepada 200 pelanggan terawal yang memohon dan membuat perbelanjaan bernilai minimum RM500 sebelum 31 Mac, 2025, sebagai tanda penghargaan kepada para pelanggan kad mewah atas sokongan dan kepercayaan mereka.

"Kad ini direka untuk meningkatkan gaya hidup pelanggan mewah kami, meliputi pengecualian yuran tahunan seumur hidup hingga ganjaran TruPoints yang menarik,” katanya.

Selain itu, pemegang kad boleh menikmati pelbagai manfaat eksklusif termasuk lima kali (5X) akses di lebih 200 ruang istirahat Plaza Premium di 37 negara di seluruh dunia setiap tahun.

Bank Islam juga menawarkan ganjaran kesetiaan TruPoints yang menarik iaitu tiga kali (3x) TruPoints bagi transaksi tanpa sentuh dan petrol, dua kali (2x) TruPoints untuk perbelanjaan di kedai fizikal di luar negara dan RM1 tanpa had = 1 TruPoints untuk sebarang perbelanjaan runcit.

Pemegang kad juga akan disediakan dengan perlindungan kemalangan perjalanan sehingga RM2 juta, perlindungan Takaful Keluarga bernilai sehingga RM100,000 dan tiada caj kompaun kewangan.

"Kami juga menawarkan faedah eksklusif melalui Mastercard Priceless Offers termasuk diskaun untuk perjalanan global dan pengalaman unik melalui platform https://www.priceless.com/," katanya.

Pemegang kad juga boleh menggunakan mata TruPoints terkumpul untuk sebarang pembelian mudah dan pantas di lebih 100 juta peniaga yang menerima Mastercard di Malaysia dan seluruh dunia melalui aplikasi mudah alih Pay with Rewards™, platform yang mudah digunakan untuk menjejaki ganjaran dan menguruskan pilihan pelanggan.

Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Perbankan Runcit Kumpulan Bank Islam, Mizan Masram, berkata Bank Islam komited untuk menyediakan penyelesaian kewangan patuh Syariah komprehensif bagi memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berkembang.

"Kad Kredit-i Bank Islam Mastercard World Premier Wealth mencerminkan komitmen kami terhadap perkhidmatan unggul dan sokongan berterusan dalam menyokong perjalanan kewangan pelanggan.

"Dengan mengintegrasikan perkhidmatan pengurusan kekayaan Bank Islam, kami memastikan pengalaman yang lancar dan memuaskan bagi pelanggan Premier Wealth kami,” katanya. 

--BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan