EKONOMI > BERITA

Fajarbaru, PDC Meterai Perjanjian Pembelian Dan Pembangunan Induk Fasa Satu Medi-city

20/01/2025 02:48 PM

GEORGE TOWN, 20 Jan (Bernama) -- Fajarbaru Builder Group Bhd (FBG) dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menandatangani perjanjian pembelian dan pembangunan Induk untuk fasa satu projek Medi-City di Batu Kawan, Pulau Pinang. 

Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif FBG Tan Sri Chan Kong Choy berkata fasa satu Medi-City merangkumi pembangunan di kawasan seluas 20.70 hektar daripada keseluruhan pembangunan projek tersebut yang seluas 95.42 hektar.

"Sebanyak 6.19 hektar daripada 20.70 hektar, akan diperuntukkan untuk komponen penjagaan kesihatan, termasuk sebuah hospital dengan 200 katil yang dilengkapi pelbagai kemudahan perubatan terkini. 

"Selebihnya iaitu 14.48 hektar akan diperuntukkan untuk pembangunan kediaman dan komersial, yang menyokong visi bagi mewujudkan sebuah pusat pembangunan yang dinamik di Batu Kawan," katanya ketika berucap di Majlis Menandatangani Perjanjian Pembelian dan Pembangunan Induk Projek Medi-City Pulau Pinang, di sini hari ini.

Beliau berkata kerjasama ini bukan sahaja berfokus kepada aspek perniagaan, malah ia mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti setempat. 

"Dengan adanya pelan induk Medi-City berhampiran Taman Perindustrian Batu Kawan (BKIP), kami bertekad untuk mencipta sebuah ekosistem yang lengkap dengan inovasi, keusahawanan, dan pembangunan. 

"Ini sejajar dengan visi Pulau Pinang untuk menjadi negeri yang berdaya saing dan mampan," kata beliau.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata projek Medi-City memainkan peranan penting dalam memperbaharui dan memperkasa sektor pelancongan serta industri kesihatan di Pulau Pinang. 

Dengan tumpuan kepada pelancongan perubatan, beliau berkata projek ini dijangka memberikan impak besar kepada ekonomi negeri serta meningkatkan status Pulau Pinang sebagai pusat utama dalam penjagaan kesihatan.

"Kehadiran pelawat ke Medi-City Pulau Pinang akan memberi kesan yang signifikan terhadap ekonomi tempatan, terutamanya dalam merancakkan ekosistem perniagaan dan mencipta pelbagai peluang baharu. 

"Projek ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada sektor kesihatan, tetapi juga membuka ruang bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk berkembang, serta menyediakan platform yang penting bagi perkembangan kemahiran dan kerjaya," katanya.

Menurut Chow, Pulau Pinang kini mendominasi sektor pelancongan perubatan di Malaysia, dengan 45 peratus daripada pendapatan sektor pelancongan perubatan negara datangnya dari negeri ini. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan