EKONOMI > BERITA

ECERDC Peroleh RM13.4 Bilion Dalam Pelaburan Direalisasikan Pada 2024

20/01/2025 05:48 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah memperoleh RM13.4 bilion dalam pelaburan yang direalisasikan untuk 2024, berkembang 56 peratus berbanding sebanyak RM8.6 bilion pada 2023.

ECERDC melalui satu kenyataan hari ini berkata ini menandakan nilai pelaburan tahunan tertinggi yang dicatatkan bagi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Pelaburan swasta terkumpul dari 2018 hingga 2024 telah mencecah RM44.7 bilion, meninggalkan ECERDC dengan baki RM4.3 bilion untuk mencapai sasaran RM49 bilion di bawah Pelan Induk ECER 2.0 (EMP2.0), yang berakhir pada 2025.

“Pencapaian yang agak mengagumkan ini adalah sejajar dengan objektif EMP2.0 selain menetapkan asas yang mantap bagi Rancangan Malaysia Ke-13 akan datang, yang mana ECERDC akan menumpukan kepada empat teras pembangunan strategik utama iaitu mewujudkan bakul makanan, destinasi, pembuatan industri produk tenaga yang kompleks dan marin,” kata majlis itu.

Pembesaran kemudahan RM7.7 bilion Alliance Steel (M) Sdn Bhd di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan adalah satu pelaburan yang menonjol pada 2024, mengukuhkan ECER sebagai hab pembuatan.

Selain itu, ECER turut menyaksikan realisasi pelaburan daripada pembesaran kilang keluli Eastern Steel Sdn Bhd, pembangunan kemudahan pengurusan sisa bersepadu oleh Greenverse Sdn Bhd dan pembinaan hotel mewah di Pulau Perhentian Kecil oleh Ikhasas Land Transit Sdn Bhd.

“Bagi menyokong pertumbuhan industri, ECERDC telah menyiapkan Talian Pengagihan Air Kemaman-Gebeng, yang menyalurkan 90 juta liter air terawat setiap hari kepada industri di Taman Perindustrian Gebeng,” katanya.

Inisiatif pelaburan ECERDC telah mewujudkan 3,305 pekerjaan termasuk memudahkan peluang 641 keusahawanan, mempamerkan komitmennya terhadap pemerkasaan sosioekonomi dan peningkatan komuniti.

Program pembasmian kemiskinan IPR-INTAN juga memainkan peranan penting, memperkenalkan teknik pertanian moden yang mampu melonjakkan hasil cili, mengurangkan kebergantungan import dan meningkatkan pendapatan peserta.

Usaha ini selaras dengan matlamat negara untuk meningkatkan sara diri makanan serta amalan pertanian mampan.

Dalam sektor perikanan, penyiapan Taman Pemprosesan Ikan Endau-Mersing meletakkan Mersing sebagai hab perikanan yang penting.

Sementara itu, kemudahan hilirannya telah menyokong pemprosesan serta pembungkusan makanan laut, penciptaan produk perikanan bernilai tinggi dan meningkatkan daya saing termasuk kebolehpasaran hasil perikanan Endau-Mersing.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Baidzawi Che Mat berkata 2024 menjadi tahun yang luar biasa bagi ECERDC kerana ia terus memacu inisiatif transformatif yang menarik pelaburan selain membina masa depan yang mampan untuk ECER dan meningkatkan komuniti.

“Memandangkan ECERDC sedang berusaha untuk mencapai matlamat dan sasarannya bagi 2025, tumpuan kini dimantapkan untuk menetapkan asas ke arah sasaran realisasi pelaburan 2026-2030 sebanyak RM55 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 akan datang.

“Melangkah ke hadapan, kami terus komited untuk memajukan pertumbuhan inklusif, meningkatkan daya saing serantau dan menyampaikan impak ekonomi yang mampan,” katanya.

Inisiatif ECERDC 2025 merangkumi Pelan Induk Pulau-Pulau ECER dan pembangunan kenderaan rekreasi (RV) pelancongan.

Ini termasuk pelan pembangunan 17 taman RV di sepanjang laluan indah yang mengintegrasikan eko-pelancongan dengan pemeliharaan budaya untuk meletakkan rantau ini sebagai destinasi utama bagi perjalanan riadah yang mampan.

ECERDC merancang untuk mengukuhkan industri berasaskan pertanian, meningkatkan keselamatan makanan serta pendapatan luar bandar.

Lembah Tenusu Jemaluang di Mersing akan disiapkan menjelang pertengahan 2025, dengan pengeluaran susu akan dimulakan seawal 2026.

Pelan pengembangan rantaian nilai ternakan termasuk pengeluaran tenusu dan daging, akan merangkumi lokasi seperti Segamat, Setiu, Dungun dan Hulu Terengganu.

Memandang ke hadapan, ECERDC menyasarkan RM55 bilion dalam pelaburan swasta mulai 2026 hingga 2030, dengan kerjasama antara kerajaan persekutuan dan negeri, pelabur swasta serta komuniti tempatan menjadi penting untuk mencapai matlamat ini.

“Dengan memupuk perkongsian yang mengutamakan keterangkuman dan kemampanan, ECERDC berhasrat untuk membuka potensi ekonomi penuh rantau berkenaan, memastikan pembangunan seimbang selain membawa kemakmuran yang lebih besar kepada rakyat di wilayah tersebut,” tambah majlis itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan