KOTA BHARU, 21 Jan (Bernama) -- Proton Holdings Bhd (Proton) sedang meningkatkan pengeluaran kenderaan elektrik (EV) e.MAS 7 dengan tambahan 3,000 unit bagi menampung permintaan tinggi daripada pelanggan di seluruh negara.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Roslan Abdullah berkata pembuat kereta itu sebelum ini menyasarkan untuk mendapatkan 3,000 tempahan bagi kenderaan itu dalam tempoh enam bulan, tetapi ia telah melepasi sasaran dalam tempoh kurang sebulan.
"Permintaan semakin meningkat dan ini menunjukkan penerimaan rakyat terhadap kereta EV.
"Saya yakin dalam masa tiga atau empat tahun akan datang orang akan berebut untuk menggunakan kenderaan EV dan semakin meninggalkan penggunaan kenderaan petrol atau diesel," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Bilik Pameran Kereta Elektrik jenama PROTON di JM Otomobil (EV) Wakaf Siku, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Roslan berkata sasaran terhadap pengguna kenderaan EV ini adalah kepada mereka yang meminati teknologi terbaharu.
"Harga dia (EV) tidak jauh beza dengan Proton X50 dan X70. Apa yang penting adalah matlamat negara yang sedang menuju ke arah Mobiliti Karbon Sifar," katanya.
Proton e.MAS 7 dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Dis tahun lepas, ia merupakan kereta EV pertama negara dalam mengorak langkah ke arah kemampanan dan inovasi teknologi hijau.
Ditawarkan dua varian iaitu Prime pada harga bermula RM109,800 dan Premium (RM123,800).
Ia dilengkapi dengan sistem motor 12 dalam 1, audio dengan 16 pembesar suara, ruang dalaman yang luas serta 33 ruang penyimpanan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial