Polis Siasat Pengamal Perubatan Tradisonal Disyaki Guna Gelaran Datuk Seri Palsu

22/01/2025 04:03 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Polis telah membuka satu kertas siasatan terhadap seorang lelaki yang disyaki menggunakan gelaran Datuk Seri palsu.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A.A Anbalagan berkata pihaknya mengesan isu itu di media sosial semalam membabitkan seorang individu bergelar Datuk Seri palsu yang dikatakan memberikan rawatan Ayurveda di Bandar Puchong Jaya, Puchong tanpa lesen dan pengiktirafan pihak berkuasa.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 3 Akta Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah 2017, atas kesalahan menggunakan anugerah tidak diiktiraf,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Anbalagan berkata Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah menyerbu premis terbabit semalam dan mengesahkan tidak mempunyai lesen sah dikeluarkan pihak berkuasa tempatan bagi menjalankan perkhidmatan pusat kecantikan dan penjagaan kesihatan.

“Tindakan notis dan sitaan telah dibuat MBSJ. Kes masih di peringkat siasatan dan polis menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan