KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Pertumbuhan sektor penjagaan kesihatan Malaysia pada 2025 dijangka terus meningkat, disokong oleh peningkatan pelancongan perubatan, kemasukan pesakit dan rawatan kes rumit, kata Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB).
Dalam nota penyelidikannya, bank pelaburan itu berkata peningkatan permintaan Indonesia bagi penjagaan kesihatan yang rumit telah menyumbang kepada kebanjiran pesakit ke Malaysia, khususnya di Pulau Pinang, Kuala Lumpur serta Johor.
“Ini positif bagi sektor berkenaan memandangkan pesakit warga asing ini lazimnya mencatat 20 peratus peningkatan intensiti pendapatan berikutan kes rumit lebih tinggi (seperti rawatan kanser) dan penggunaan perkhidmatan tambahan," katanya.
Pada masa sama, Maybank IB berkata Malaysia juga menyaksikan peningkatan tahap kekayaan dengan pertambahan golongan berpendapatan sederhana hingga tinggi yang bertindak membeli insurans perubatan untuk keperluan sendiri serta ahli keluarga, termasuk warga emas.
"Keadaan itu akhirnya diterjemahkan dalam bentuk peningkatan permintaan penjagaan kesihatan swasta apabila lebih ramai beralih daripada membayar sendiri kepada tuntutan insurans, termasuk perlindungan korporat di bawah skim perubatan syarikat serta insurans perubatan selain kesihatan peribadi dan takaful.
"Ini menyumbang kepada peningkatan aspek kemasukan pesakit dan rawatan pesakit luar di hospital swasta yang lebih ketara selepas COVID,” katanya.
Menurutnya, perkembangan itu menyumbang kepada kadar pertumbuhan kapasiti katil oleh penggiat swasta serta pengembangan selanjutnya dalam tempoh tiga tahun berikutnya bagi menampung pertambahan permintaan,” katanya.
Maybank IB berkata seiring dengan pertumbuhan pendapatan, wujud peningkatan dalam penyakit yang lebih rumit dan berkaitan gaya hidup yang tidak berjangkit seperti kanser, strok, masalah jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi akibat faktor termasuk tabiat pemakanan.
“Apabila usia penduduk bertambah, kita juga menyaksikan peningkatan isu berkaitan umur yang rumit seperti penggantian tulang dan sendi, masalah serangan jantung dan paru-paru, arthritis serta penyakit neurodegenerative seperti Parkinson dan Alzheimer.
“Selain itu, kekerapan sindrom geriatrik (pesakit mempunyai beberapa masalah kesihatan) untuk warga emas berusia lebih 65 tahun yang meningkatkan lagi kerumitan kes serta kemungkinan komplikasi akibatnya," katanya.
Secara menyeluruh, Maybank IB kekal positif terhadap sektor itu dengan saranan “beli” bagi IHH, KPJ dan OPTIMAX membabitkan prospek pertumbuhan semua syarikat berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial