EKONOMI > BERITA

Sebagai Pengerusi ASEAN Malaysia Beri Tumpuan Kepada Tenaga, Ketersambungan - PM Anwar

23/01/2025 12:01 AM

DAVOS (Switzerland), 22 Jan (Bernama) -- Sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia menyasar untuk memberi keutamaan kepada tenaga dan ketersambungan dengan tumpuan membina kepercayaan dan keterangkuman dalam kalangan negara anggota.

 Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata selain itu perkumpulan tersebut juga akan melibatkan diri secara membina dengan kuasa global utama sambil melindungi kedaulatannya.

Beliau berkata keutamaan terhadap sektor tenaga termasuklah bagi Grid Kuasa Asean (APG) dan teknologi alternatif yang meliputi Indochina, Thailand, Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina serta melibatkan kabel dasar laut dari Sarawak.

"Konsensusnya adalah untuk memberi tumpuan kepada tenaga, dengan cara yang lebih pragmatik untuk menyelesaikan bukan sahaja permintaan ekonomi kita, tetapi kerana keperluan untuk air dan elektrik yang kini kritikal.

"Kita perlu menangani perkara ini, dan pada masa yang sama, menangani isu iklim, walau apa pun yang orang lain fikir...kita di ASEAN merasakan ini adalah keutamaan kita. Ini adalah sesuatu yang kritikal untuk masa depan kita," katanya sebagai ahli panel pada sesi Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 bertajuk “ASEAN, Even Stronger Together” yang dimudahcarakan oleh Presiden WEF, Borge Brende.

Ahli panel lain termasuklah Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, Duta Khas ke UNSG mengenai Myanmar Julie Bishop, Pengerusi Global Mastercard Michael Miebach dan Ketua Penasihat Bangladesh Prof Muhammad Yunus.

Mengenai ketersambungan, Anwar berkata tumpuan akan diberikan terutamanya terhadap bidang digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan negara anggota ASEAN yang akan ditumpukan pada sektor ekonomi.

"Orang mengatakan kita bersaing sesama kita...tidak semestinya begitu, kerana kita berkongsi dan saya rasa ada minat yang tinggi terhadap Malaysia dan rantau ini, secara umumnya.

“Kita lebih prihatin juga terhadap prinsip keterangkuman, yang bermaksud mampan tetapi inklusif, yang bermaksud kita tidak mengabaikan negara-negara lain,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata ASEAN cenderung untuk melibatkan diri dan membentuk dasar yang akan menguntungkan satu sama lain bagi memupuk keamanan dan ketenteraman dalam kalangan jiran contohnya seperti yang dilihat dalam kes Myanmar.

"Saya ingin menegaskan satu perkara yang sangat kritikal, yang dipandang remeh oleh ramai orang, iaitu kepentingan membina kepercayaan, bekerjasama dalam memberi tumpuan kepada asas-asas ini," kata Anwar.

Beliau juga berkata sebagai negara perdagangan, Malaysia dan ASEAN harus terus melibatkan diri, menarik pelabur Amerika, Eropah, China, Australia dan India dan tidak boleh dipaksa untuk menyebelahi mana-mana pihak. 

“Kita ambil pendirian bahawa kita harus terus melibatkan diri dan menarik pelabur dengan cara yang lebih agresif.

"Saya fikir inilah yang kita panggil kuasa pemacu ASEAN - dapat melibatkan diri dan mengharungi situasi yang lebih genting. Masalah itu bukan masalah kita, ia dibebani kepada kita dan kita tidak seharusnya dipaksa untuk mengambil pendirian berpihak terhadap sesiapa pun," kata Anwar.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan