KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Makmal Inovasi Kewangan Iklim (CFIL) yang diterajui oleh Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB), dijangka mula beroperasi pada separuh pertama 2025 (1H 2025), menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
BNM berkata CFIL bertujuan untuk mempercepat pembangunan penyelesaian kewangan iklim yang inovatif bagi melengkapkan dan meningkatkan aliran kewangan ke arah peralihan dan aktiviti hijau, termasuk penyelesaian kewangan campuran yang memanfaatkan perkongsian swasta-awam.
Kemajuan penubuhan CFIL telah dibincangkan semasa mesyuarat Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) ke-14 pada 22 Jan, 2025, untuk menyemak perkembangan usaha yang sedang dijalankan dan membincangkan keutamaan dan pelan tindakannya bagi 2025.
Dalam satu kenyataan bersama JC3 hari ini, BNM berkata jawatankuasa itu akan menggiatkan lagi usaha untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam membina daya tahan iklim dengan menyediakan penyelesaian khusus PKS dengan kos yang berpatutan, berwibawa dan praktikal.
“Usaha ini termasuk memperkukuh kerjasama antara institusi perbankan dengan rakan-rakan strategik menerusi Program Menghijaukan Rantaian Nilai bagi memberi PKS penyelesaian penzahiran yang berpatutan kosnya untuk membolehkan PKS memenuhi permintaan berhubung dengan penzahiran pelepasan gas rumah hijau mereka,” kata kenyataan itu.
Bank Negara berkata JC3 pada 2025 akan terus memberikan tumpuan terhadap usaha membina daya tahan iklim sektor kewangan dalam tiga bidang utama iaitu menangani cabaran data, memudahkan peralihan PKS dan merangka penyelesaian kewangan iklim melalui penekanan kepada sektor yang sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara ( NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP).
Selain itu, ia berkata jawatankuasa berkenaan akan bekerjasama dengan penyedia pensijilan untuk menyokong laluan pensijilan PKS yang lebih mudah.
“Portal JC3 ESG Jumpstart juga akan dipertingkatkan dengan ciri-ciri tambahan bagi mewujudkan komuniti PKS, pakar teknikal dan penyedia penyelesaian yang mantap,” katanya.
BNM berkata pada Julai 2025, JC3 akan menganjurkan persidangan berfokuskan PKS yang akan menghimpunkan PKS, penyedia penyelesaian, pembuat dasar dan peneraju syarikat korporat mampan untuk membincangkan tentang pelbagai isu dan peluang yang berkaitan dengan pertumbuhan mampan dan pembangunan PKS.
Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia dan Pengerusi Bersama JC3 Datuk Jessica Chew berkata Malaysia sudah pun mengalami kesan fizikal daripada pelbagai kejadian berkaitan iklim.
“Memandangkan risiko perubahan iklim yang semakin meningkat, kami kekal fokus pada memperkukuh daya tahan sektor kewangan, perniagaan dan isi rumah.
“Sambil terus membangunkan asas yang telah dimulakan sejak JC3 ditubuhkan, kami berhasrat untuk menggunakan pendekatan yang lebih bersasar supaya JC3 dapat mempercepat pembangunan kewangan iklim,” kata beliau.
Sementara itu, BNM berkata sokongan untuk kewangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) juga semakin berkembang, dengan lebih banyak penyelesaian kewangan iklim ditawarkan seperti pembiayaan rantaian bekalan mampan, pembiayaan perbelanjaan modal hijau untuk PKS, program pembiayaan teknologi eksport hijau dan penyelesaian perlindungan tenaga boleh baharu ASEAN.
Ia berkata sebanyak 38 terbitan berjumlah RM13.3 bilion telah diperoleh di bawah Rangka Kerja Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) dan/atau Piawaian ASEAN pada 2024.
Bank pusat itu berkata ini melalui penglibatan kolektif dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat korporat di bawah Pelan Tindakan Kewangan Mampan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial