EKONOMI > BERITA

Nilai Transaksi Hartanah Bagi 2024 Cecah RM217.46 Bilion, Melebihi Sasaran Awal - Nga Kor Ming

31/01/2025 02:57 PM

IPOH, 31 Jan (Bernama) -- Nilai transaksi hartanah bagi tahun 2024 mencecah RM217.46 bilion jauh mengatasi sasaran RM100 bilion yang ditetapkan pada awal tahun, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Nga berkata pencapaian membanggakan tersebut menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya dengan transaksi hartanah pada 2022 berjumlah RM179.07 bilion dan tahun 2023 sebanyak RM196.83 bilion.

“Peningkatan ini mencerminkan kekuatan sektor hartanah negara, yang didorong oleh beberapa faktor utama termasuk kadar faedah yang rendah, sentimen pelabur yang positif, serta prospek ekonomi yang semakin stabil.

“Selain itu, keyakinan pelabur tempatan dan asing terhadap pasaran hartanah Malaysia juga terus meningkat, memperkukuh kedudukan sektor ini sebagai antara penyumbang utama ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) di sini, hari ini, yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu Nga berkata jumlah lesen permit pengiklanan pembangunan yang diluluskan oleh Jabatan Perumahan Negara pada 2024 adalah sebanyak 195,962 unit dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM130.55 bilion.

Bagi tahun ini, katanya, sektor hartanah dijangka terus mengekalkan landasan pertumbuhan positif dengan pelbagai inisiatif baharu yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2025 antaranya potongan cukai pendapatan individu atas bayaran faedah pinjaman rumah serta peruntukan tambahan RM10 bilion untuk Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bagi membantu lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri.

“Dengan dasar sokongan berterusan dan keyakinan tinggi terhadap pertumbuhan ekonomi, sektor hartanah Malaysia dijangka terus berkembang, menjadikan 2025 sebagai satu lagi tahun yang penuh dengan peluang dan kemajuan,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan