EKONOMI > BERITA

Wujudkan Kerangka Pengurusan Industri Emas Negara - Mohd Shahar

04/02/2025 11:12 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Malaysia perlu memperkasa dan memanfaatkan pengurusan sumber emas negara dengan mewujudkan Kerangka Pengurusan Industri Emas Negara yang holistik dan komprehensif.

Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata berdasarkan World Bureau of Metal Statistics - London Stock Exchange Group, Malaysia kini menyumbang 0.06 peratus dari 3,000 tan pengeluaran emas dunia dengan mengeluarkan sekitar 1.8 hingga 4.6 tan metrik setahun.

Bagaimanapun, beliau berkata pengurusan sumber itu masih di bawah bidang kuasa kerajaan negeri melalui Enakmen Mineral Negeri masing-masing.

“Apakah mekanisme penyelarasan antara kerajaan Persekutuan, negeri dan syarikat konsesi untuk memastikan royalti (biasanya lima hingga 10 peratus) serta hasil cukai mencerminkan nilai sebenar emas yang dieksport?

“Laporan Ketua Audit Negara 2019 mendedahkan ketidakseragaman kadar royalti antara negeri menyebabkan potensi kebocoran hasil. Adakah kerajaan mempunyai perancangan untuk menyelaraskan standard kontrak perlombongan secara nasional,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan berkata berdasarkan kajian Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) 2021, mineral logam di negara ini dianggarkan bernilai RM1.03 trilion dengan salah satu daripadanya ialah emas.

“Mineral bernilai tertumpu di empat jalur emas utama, Jalur Tengah (Pahang dan Terengganu), Jalur Timur (Kelantan), Jalur Borneo (Sabah dan Sarawak) dan Jalur Bentong-Raub,” katanya. 

Beliau berkata dengan menggunakan teknologi perlombongan moden seperti pelarutan bio dan peninjauan satelit, potensi pengeluaran boleh ditingkatkan.

“Saya berpandangan pengupayaan Program Kerjasama Pensijilan Emas Antarabangsa perlu diteroka. Jika dilihat pada 2020, Argentina melancarkan program Sijil Eksport Emas dengan kerjasama London Bullion Market Association (LBMA) meningkatkan nilai eksport emas mereka sebanyak 40 peratus dalam masa dua tahun (Laporan Bank Pusat Argentina, 2022),” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan