Oleh Harizah Hanim Mohamed
BENTONG, 6 Feb (Bernama) – Pengharmonian elemen santai, menikmati keindahan selain menyuntik kesedaran mengurangkan impak ke atas alam semula jadi menjadi pendekatan Berjaya Hills Resort Bhd bagi menghidupkan percutian eko di The Chateau Spa and Wellness Resort di sini.
Pengurus Besar Wilayah Berjaya Hills Resort & Berjaya Tioman Resort Paul Cheah berkata The Chateau yang berlatar belakang hutan hujan tropika, juga dikenali dengan kepelbagaian flora dan faunanya.
Selain diserikan dengan reka bentuk berinspirasikan istana abad ke-18 “Haut Koenigsbourg” di Alsace, Perancis, pusat peranginan itu juga lebih daripada sekadar lokasi mendamaikan untuk lari daripada hiruk-pikuk kota.
“The Chateau yang cuma 45 minit perjalanan dari Kuala Lumpur, direka khusus sebagai pusat peranginan bertemakan Perancis serba mendamaikan untuk kemudahan pelanggan berehat memulihkan diri tanpa merosakkan alam sekitar,” katanya kepada Bernama.
Buktinya, pusat peranginan itu mempunyai ladang organik sendiri bagi kegunaan tetamu serta di peringkat dalaman.
Langkah itu membantu mengurangkan pelepasan karbon dengan tidak membabitkan pembelian dari lokasi bandar, sekali gus menyumbang kepada pergerakan huluan dan hiliran.
“Kami menawarkan pendekatan segar, tidak tercemar dan tanpa penggunaan racun perosak bagi sumber makanan di sini. Sisa makanan juga akan diproses di kemudahan khusus untuk dijadikan baja.
“Ini akan digunakan semula di rumah hijau dan bagi semua tumbuhan di sini, sekali gus mewujudkan kompos percuma yang menyumbang menerusi impak secara kesan domino (memberi kesan susulan),” katanya.
Bukan setakat itu, The Chateau turut menggunakan air daripada empangan selain sumber bukit dan mata air dan kini secara berperingkat menukar kenderaan kepada jenis kenderaan elektrik.
Pusat peranginan itu dilengkapkan dengan kemudahan 172 bilik di bawah lapan kategori -- bilik Deluxe, Premier, suite satu bilik, suite noble, suite dua bilik, tiga bilik serta suite “Son Altesse.”
Reka bentuk kemudahan bilik itu mendapat sentuhan hiasan dalaman daripada inspirasi tradisional Eropah namun sofistikated yang diserikan dengan kemudahan serba mewah.
The Chateau juga menampilkan kemudahan kelab untuk kanak-kanak bagi manfaat keluarga yang mahukan pengalaman percutian lebih menarik.
Sejajar matlamat pelancongan mampan ASEAN
Cheah menekankan bahawa usaha yang dilaksanakan di pusat peranginan itu selaras dengan inisiatif kemampanan di peringkat Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).
Baru-baru ini, dalam merintis langkah untuk membina semula dan mengukuhkan lanskap pelancongan, ASEAN telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan agensi pelancongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memacu amalan pelancongan mampan.
Selain itu, MoU itu bertujuan melengkapkan rantau ini dengan kemudahan yang diperlukan untuk berkembang dalam dunia pasca pandemik.
MoU itu juga mewujudkan rangka kerja bagi kerjasama teknikal, memfokuskan kepada beberapa bidang utama seperti daya saing pelancongan, pembinaan kapasiti dan kemampanan.
Terbaharu, “La Sante Spa” di The Chateau menerima Anugerah Perkhidmatan Spa ASEAN di “ASEAN Tourism Standard Awards 2025” oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Ia merupakan salah satu daripada lima penerima anugerah di Malaysia bagi tahun 2025-2027, sekali gus menetapkan penanda aras untuk mempromosikan kecemerlangan pelancongan di ASEAN.
Justeru, Cheah menekankan bahawa syarikat itu kini secara agresif mempromosikan The Chateau sebagai satu daripada destinasi permukiman bagi pegawai kerajaan, terutamanya selepas Malaysia dilantik sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.
“Kami akan meneruskan usaha menembusi pasaran, kami juga akan mewujudkan pelbagai pakej antaranya merangkumi makanan, bilik, bilik majlis dan bilik mesyuarat.
“Pakej ini akan dihasilkan dan disemak mengikut kesesuaian serta keperluan mesyuarat setiap pegawai kerajaan yang mempunyai peruntukan kewangan yang berbeza-beza.
“Kami akan memberi tumpuan kepada ketua jabatan dan pegawai berkaitan serta menyasar untuk menguasai sebahagian besar pasaran ini,” katanya.
Trend pengembara, lonjakan ketibaan pelancong antarabangsa
Di peringkat domestik, Cheah berkata majoriti rakyat Malaysia masih mengekalkan jadual perjalanan mereka di dalam negara, malah 65 peratus pengunjung The Chateau adalah rakyat Malaysia dan trend ini dijangka berterusan tahun ini dan tahun depan.
Beliau berkata 35 peratus pengunjung di pusat peranginan itu adalah pelancong antarabangsa dan pemberian visa percuma kepada warganegara India dan China menyumbang kepada trend berkenaan.
“Kami sudah menyaksikan perubahan besar dalam corak perjalanan pelancong ke Malaysia pada 2024, dengan pelancong dari China tidak lagi melancong secara berkumpulan.
“Kami lihat perubahan ini kerana mereka kini melancong secara bersendirian dan mengambil kesempatan dengan pemberian visa percuma yang ditawarkan,” kata Cheah.
Beliau berkata pelancong dari India menyumbang kira-kira 12 peratus daripada jumlah tetamu antarabangsa di resort berkenaan dan dijangka meningkat kepada sekitar 30 peratus tahun depan.
"Sementara pasaran China juga agak sama iaitu kira-kira 14 peratus. Kami bekerjasama dengan beberapa agensi pelancongan dan menjangkakan peningkatan kira-kira 10 peratus menjelang 2026," katanya.
Pertanian lestari, pertumbuhan Veggie Nature
Berjaya Hills yang mewujudkan ladang hidroponik dan bebas racun perosak kini membekal sayur-sayuran kepada resort serta restoran-restoran di bawah naungan Berjaya Group, dan mendapat peningkatan permintaan dari Kuala Lumpur hingga Singapura serta Hong Kong.
Ketua Jabatan Hortikultur dan Hartanah Projek Ku Ahmad Fasbir Ku Talib berkata Veggie Nature, cabang baharu dalam keluarga Berjaya Hills Resort, memberi tumpuan kepada pertanian lestari yang setakat ini telah permintaan yang tinggi di pasaran.
“Veggie Nature bertujuan untuk menyediakan pengalaman unik bagi mereka yang ingin mengamalkan gaya hidup yang lebih hijau dan sihat.
"Rumah hijau kami terletak di atas tanah seluas 2.43 hektar dengan ladang organik merangkumi sekitar 1.21 hektar dan menghasilkan 17 jenis sayuran termasuk salad koral hijau dan merah, tomato ceri, terung dan lada benggala yang dihasilkan oleh Veggie Nature,” katanya kepada pemberita semasa lawatan media baru-baru ini.
Ku Ahmad berkata Veggie Nature menghasilkan dua tan sayur-sayuran setiap minggu dan mematuhi sepenuhnya amalan pertanian organik iaitu tidak menggunakan baja sintetik, racun perosak atau organisma yang diubahsuai secara genetik (GMO).
Selain sayur-sayuran, durian turut ditanam di Veggie Nature, di atas tanah seluas 32.37 hektar, dengan 70 peratus daripadanya adalah daripada varieti Musang King, Black Thorn (20 peratus) dan IOI.
“Kami menjangkakan hasil tanaman ini dapat dituai dalam masa dua tahun,” katanya.
Ku Ahmad berkata Veggie Nature juga sedang memperluas fasa kedua melibatkan tambahan 2.02 hektar tanah pada separuh kedua tahun ini.
“Kami merancang untuk membina lima lagi rumah hijau bagi memenuhi permintaan pasaran,” katanya, sambil menambah bahawa jarak ladang yang lebih dekat ke pusat bandar membantu mengekalkan kesegaran sayur-sayuran berbanding sayur-sayuran yang dihasilkan di Cameron Highlands.
Berjaya Hills memperuntukkan kawasan seluas 40.46 hektar untuk tujuan pertanian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial