EKONOMI > BERITA

MIDA, BEYOND4 Jalin Kerjasama Sokong PKS Yang Berkembang Pesat

12/02/2025 09:14 PM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta BEYOND4 Sdn Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berkembang pesat.

MIDA dalam satu kenyataan hari ini berkata kerjasama itu juga bertujuan memperkukuh pembangunan bakat domestik di seluruh Malaysia, seiring dengan aspirasi negara untuk menjadi pusat inovasi digital dan pertumbuhan keusahawanan.

Kerjasama strategik ini akan memberi tumpuan kepada memperkasa syarikat tempatan untuk beralih kepada model yang dipacu oleh teknologi, memupuk pengembangan perniagaan dan membangunkan tenaga kerja yang mahir untuk ekonomi masa depan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata kerjasama berkenaan merupakan tindak balas langsung kepada keperluan untuk struktur sokongan kritikal yang membolehkan syarikat baharu berkembang menjadi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Sikh Shamsul Ibrahim menegaskan, ia juga bermatlamat merapatkan jurang teknologi bagi PKS, membolehkan mereka berkembang di luar Malaysia serta tumbuh pesat dalam pasaran global yang semakin kompetitif.

"MIDA mengambil peranan proaktif dalam menyokong pertumbuhan PKS dan memudahkan akses kepada pembiayaan, teknologi serta keupayaan penyelidikan melalui Platform Penyelarasan Pelaburan Domestik kami di samping memperkukuh hubungan industri untuk membantu mereka berkembang serta kekal berdaya saing," katanya.

Agensi itu berkata kerjasama dengan BEYOND4 iaitu pemangkin ekosistem pelbagai peringkat merupakan komponen utama dalam strateginya yang lebih luas untuk memperkasa syarikat tempatan bagi meningkatkan rantaian nilai seiring dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

Ia berkata MIDA dan BEYOND4 akan memanfaatkan sumber dan kepakaran bagi menyediakan sokongan menyeluruh dalam beberapa bidang utama termasuk akses kepada bantuan kewangan dan insentif selain menjalin kerjasama dan perkongsian yang dipermudahkan menerusi syarikat multinasional (MNC) serta institusi penyelidikan.

Selain itu, kerjasama ini akan memberi tumpuan kepada pembinaan kapasiti, pembangunan kemahiran, infrastruktur untuk meningkatkan ketersambungan digital serta advokasi dasar dan penyelarasan peraturan berterusan.

"Kerjasama tersebut juga akan membantu meningkatkan akses ke pasaran antarabangsa selain mencipta peluang baharu untuk perniagaan dan usahawan," kata MIDA.

Yang paling penting, inisiatif ini akan membawa kepada penciptaan pekerjaan bernilai tinggi untuk penduduk tempatan, memperkasa individu serta komuniti sambil memperkukuh impak ekonomi yang besar selain berdaya tahan melalui peningkatan pelaburan asing dan domestik, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan