KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- RichTech Digital Bhd (RichTech) berjaya mencapai premium 200 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 25 sen sesaham, meningkat kepada 75 sen dan memperoleh RM13.67 juta pada hari dagangan pertamanya di Pasaran ACE pada Isnin.
Sebanyak 10.73 juta saham diniagakan sebaik sahaja dagangan dibuka.
Ditubuhkan pada 2010, RichTech menyediakan perkhidmatan pembayaran bil dan tambah nilai elektronik menerusi platform SRS miliknya.
Ia menawarkan masa siaran mudah alih, data, TV digital, kredit permainan, pembayaran bil utiliti, perkhidmatan pascabayar dan pinjaman pendidikan serta memberi perkhidmatan kepada lebih empat juta pengguna di seluruh negara.
Dalam kenyataan hari ini, RichTech berkata ia akan memperuntukkan RM4.50 juta daripada hasil IPO bagi pemasaran dan mengembangkan data pangkalan pengguna portal dan aplikasi SRS.
Manakala RM3 juta akan digunakan untuk pembelian pejabat baharu sekali gus menyatukan ibu pejabat dan cawangannya bagi pentadbiran korporat yang lebih baik.
“Sementara itu, baki RM3 juta akan digunakan sebagai modal kerja bagi menyokong peningkatan volum transaksi digital dan pengembangan platform, dan RM3.17 juta bagi anggaran perbelanjaan penyenaraian,” katanya.
Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas Wong Koon Wai berkata penyenaraian di Pasaran ACE adalah peristiwa penting bagi RichTech ketika memulakan langkah ke fasa pertumbuhan seterusnya.
“Kami amat teruja dengan peluang yang senang menanti dan kekal fokus untuk memacu inovasi, mengembangkaan kehadiran kami di dalam pasaran dan mencipta nilai mampan bagi pihak berkepentingan kami,” katanya.
Pada 10.50 pagi, saham RichTech meningkat sembilan sen kepada 34 sen dengan 176.53 juta saham bertukar tangan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial