EKONOMI > BERITA

Inflasi Malaysia Kekal 1.7 Peratus Pada Januari 2025

21/02/2025 03:27 PM

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Kadar inflasi Malaysia kekal 1.7 peratus pada Januari 2025, dengan mata indeks berada pada 133.6 berbanding 131.4 pada bulan yang sama tahun lepas, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata inflasi pada bulan Januari 2025 didorong oleh peningkatan dalam kumpulan utama restoran dan perkhidmatan penginapan (3.5 peratus); penjagaan diri, perlindungan sosial, pelbagai barangan dan perkhidmatan (3.3 peratus); rekreasi, sukan dan kebudayaan (1.8 peratus) dan pendidikan (1.6 peratus). 

“Selain itu, kumpulan kesihatan (1.2 peratus), pengangkutan (0.9 peratus), minuman alkohol dan tembakau (0.9 peratus), insurans dan perkhidmatan kewangan (0.6 peratus); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.5 peratus) menunjukkan peningkatan lebih tinggi berbanding Disember 2024. 

Beliau berkata, inflasi bagi maklumat dan komunikasi menyusut kepada -5.3 peratus pada Januari 2025 (Disember 2024: -5.4 peratus) berikutan penurunan inflasi subkumpulan utama perkhidmatan maklumat dan komunikasi pada -5.9 peratus (Disember 2024: -6.4 peratus).

“Pakaian dan kasut kekal pada jajaran negatif iaitu -0.3 peratus (Disember 2024: -0.5 peratus).

“Manakala, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain, makanan dan minuman masing-masing merekodkan peningkatan perlahan pada 2.8 peratus dan 2.5 peratus berbanding 3.2 peratus dan 2.7 peratus pada bulan sebelumnya,” katanya.

Mohd Uzir berkata purata harga diesel di Semenanjung Malaysia adalah RM3.06 seliter berbanding RM2.15 seliter pada Januari 2024 (Disember 2024: RM2.95).

Bagaimanapun, purata harga diesel bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.

Mengenai inflasi di peringkat negeri, katanya, kebanyakan negeri merekodkan inflasi di bawah paras inflasi nasional iaitu 1.7 peratus.

Namun, inflasi bagi empat negeri meningkat melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang (2.4 peratus), Selangor (2.0 peratus), Johor (1.9 peratus) dan Pahang (1.9 peratus).

Berbanding inflasi dengan beberapa negara terpilih, Mohd Uzir berkata inflasi di Malaysia (1.7 peratus) lebih rendah berbanding inflasi di Vietnam (3.6 peratus), Filipina (2.9 peratus) dan Korea Selatan (2.2 peratus).

“Bagaimanapun, kadar inflasi Malaysia lebih tinggi berbanding Thailand (1.3 peratus), Indonesia (0.8 peratus) dan China (0.5 peratus),” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan