EKONOMI > BERITA

EPMB & Firma China Bekerjasama Bagi Pengeluaran Tempatan Komponen Proton Saga MC3

24/02/2025 01:22 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- EP Manufacturing Bhd (EPMB) memeterai perjanjian usahasama dengan firma berpangkalan di China, Sanly dan Jujin bagi pengeluaran komponen automotif utama Proton Saga MC3.

Dalam satu kenyataan, EPMB berkata anak syarikatnya PEPS-JV (M) Sdn Bhd bekerjasama dengan Sanly bagi mengeluarkan modul sudut hadapan, modul subframe dan pemasangan gandar belakang.

"Perjanjian ini yang dimeterai pada 18 Februari, menggabungkan teknologi pemesinan logam canggih Sanly dengan operasi EPMB di Batang Kali sekali gus memperkukuh rantaian bekalan dan meningkatkan kecekapan.

“Kerjasama ini selari dengan inisiatif strategik Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam merangsang pemindahan teknologi dan meningkatkan keupayaan pembuatan tempatan,” menurut kenyataan itu.

EPMB berkata dengan memanfaatkan kepakaran Sanly, syarikat bertujuan untuk menawarkan harga yang kompetitif dan mengoptimumkan kos kilang, memberikan pengeluar peralatan asal (OEM) peningkatan kecekapan kos dan jaminan kualiti yang lebih baik.

Pengarah Eksekutif EPMB Aidan Hamidon berkata usaha sama dengan Sanly itu menandakan langkah strategik ke hadapan syarikatnya,

"Dengan menggabungkan kepakaran pemesinan logam canggih Sanly dan keupayaan pembuatan tempatan EPMB, syarikat menetapkan piawaian baharu dalam bekalan komponen automotif," katanya.

Sementara itu, kerjasama dengan Jujin bagi  pengeluaran tempatan kerusi kereta Proton pula dapat meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos, dan meningkatkan keuntungan jangka panjang.

“Perbincangan sedang dijalankan untuk mengembangkan kerjasama ini ke model Proton lain dan kenderaan Geely yang berpotensi, seterusnya memperkukuh kedudukan pasaran EPMB,” kata kenyataan itu.

Pengerusi Eksekutif EPMB Hamidon Abdullah berkata kerjasama ini bukan sahaja mewakili pengembangan jejak pembuatan syarikat tetapi juga peralihan dalam strategi perniagaannya.

“Kami tidak dapat mengekalkan model apabila kami menghasilkan produk berkualiti tinggi tetapi menjual pada harga  yang rendah.

“Usaha sama ini membolehkan kami meningkatkan pengeluaran, mengurangkan kos, dan memacu keuntungan sambil secara aktif membentuk norma baharu dalam industri,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan