Oleh Nur Fatin Mohmad Kedenen
KOTA TINGGI, 24 Feb (Bernama) -- Laksa Johor MakEte dari Segamat, keluaran seorang pengusaha wanita diterbangkan ke United Kingdom (UK) menerusi platform e-dagang Halal Street UK.
Pengarah Warisan Indi Network Siti Sainiza Saidin, 49, berkata dua produknya iaitu Kuah Laksa Johor segera dan Laksa Johor segera yang mempunyai keenakan rasa ikan parang itu diusahakan sejak 2021 dan dipasarkan menerusi platform berkenaan sejak Oktober tahun lepas.
“Usaha bagi memasarkan produk kita ini dibantu oleh pihak Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE). Ia mula dipasarkan di Halal Street UK pada Oktober tahun lepas dan kita perlahan-lahan menerima permintaan.
“Saya bersyukur diberikan peluang untuk mengeksport produk ke UK. Jadi orang di sana dan rakyat Malaysia khususnya dapat merasai keunikan dan keenakan Laksa Johor dengan mudah,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31 di Pusat Konvensyen Desaru Coast di sini, semalam.
Usahawan di bawah Perbadanan Usahawan Johor (PUJB) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) itu berkata produk resepi turun temurun keluarganya itu dihasilkan tanpa bahan pengawet serta menggunakan teknologi retort.
“Maklum balas daripada pelanggan yang membeli produk adalah baik. Mereka memaklumkan Kuah Laksa Johor dan Laksa Johor segera ini menepati cita rasa.
“Konsepnya (makanan) segera. Jadi ia memudahkan pelanggan dengan perlu dipanaskan sahaja dan selepas itu sedia dimakan,” katanya.
Menurutnya setakat ini kebanyakan permintaan adalah dari Johor, dengan produk ini boleh didapati di Halal Valet, Angsana Johor Bahru Mall dan kira-kira 15 vendor di sekitar Segamat, Kulai, Batu Pahat dan Johor Bahru.
Beliau berkata produknya itu turut dipasarkan di platform e-dagang seperti Shopee serta di TikTok Shop dan Facebook.
Siti Sainiza turut merancang untuk mengembangkan lagi perniagaan bagi memudahkan peminat laksa Johor di luar negeri itu untuk mendapatkan produknya.
“Kalau boleh saya hendak luaskan pasaran produk di premis di kawasan Kuala Lumpur dan negeri lain. Semoga impian ini tercapai,” katanya.
Beliau pada masa sama berharap agar penyertaan syarikatnya di reruai Pemukiman AEM akan membuka peluang pasaran eksport produknya ke negara komuniti ASEAN.
“Laksa Johor ini rasanya universal dan unik dengan menggunakan spageti. Oleh itu, saya harap ia dapat menepati cita rasa dan mampu menembusi pasaran ASEAN,” katanya.
Pemukiman AEM pada 28 Februari ini akan dipengerusikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan bermula 22 hingga 27 Februari ini diadakan bersempena dengan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia.
Bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan,’ pemukiman kali ini bagi mencerminkan aspirasi Malaysia dalam menyumbang ke arah pengukuhan komuniti ASEAN yang terangkum dan mampan.
Antara agenda utama Malaysia sebagai pengerusi ASEAN adalah meningkatkan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN serta mengemudi usaha meneroka dan memperluas kerjasama dan perkongsian ekonomi di luar rantau ASEAN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial