EKONOMI > BERITA

HLTF_EI Capai Kemajuan Penting Dalam Beberapa Bidang Utama - KSU MITI

25/02/2025 12:57 AM

KOTA TINGGI, 24 Feb (Bernama) -- Pasukan Petugas Peringkat Tinggi mengenai Integrasi Ekonomi ASEAN (HLTF-EI) meraih pencapaian penting dalam beberapa bidang utama khususnya dalam memajukan aspek keutamaan serantau.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Hairil Yahri Yaacob berkata ini termasuk pelaksanaan Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025, merangka Pelan Strategik AEC 2026-2030 dan visi jangka panjang Visi Komuniti ASEAN 2045.

“Saya berharap dokumen strategik ini dapat membuka peluang untuk memastikan ASEAN kekal sebagai blok ekonomi yang berdaya tahan, berdaya saing dan dinamik dalam dunia yang semakin saling berhubung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menganjurkan majlis makan malam bersempena dengan Mesyuarat HLTF-EI ke-47 di Desaru, dekat sini malam ini.

Mesyuarat itu berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Pusat Konvensyen Desaru Coast yang bertujuan membincangkan agenda strategik, termasuk pembangunan ekonomi serantau dan global.

Mesyuarat berkenaan dijangka memperkukuh komitmen ASEAN untuk mempercepat integrasi ekonomi serantau yang lebih mampan, inklusif dan berdaya saing di peringkat global.

Selepas berakhirnya mesyuarat ini esok, Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Ekonomi Kanan (Prep-SEOM) untuk Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) Ke-31 akan bersidang pada 26 dan 27 Februari.

Menteri-menteri ekonomi ASEAN dijadualkan berhimpun untuk pemukiman pada 28 Februari yang akan dipengerusikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan