Oleh Nabilah Saleh
KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Hab makanan baharu yang diperakui halal dan dibangunkan SPC Group di Johor mampu memainkan peranan penting dalam pengembangan global syarikat itu selain memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri makanan halal antarabangsa.
Kemudahan yang menempatkan pengeluaran barangan bakeri Paris Baguette serta diperakui halal ini menandakan satu langkah besar bagi rangkaian kedai roti terkenal dari Korea Selatan itu mengukuhkan kehadirannya di Asia Tenggara dan negara seterusnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Paris Baguette untuk pasaran Asia-Pasifik, Timur Tengah dan Afrika Hana Lee berkata kemudahan baharu berkenaan menunjukkan komitmen jangka panjang kumpulan bagi meluaskan jejak di pasaran halal yang berkembang pesat.
"Pelaburan SPC Group di Malaysia mencerminkan komitmen jangka panjang terhadap pertumbuhan perniagaan, pemerkasaan tenaga kerja dan kemajuan sektor pembuatan makanan.
"Dengan memanfaatkan sijil halal Malaysia yang kukuh, lokasi strategik dan persekitaran perniagaan yang mesra, kami yakin kemudahan ini akan memainkan peranan penting dalam pengembangan global SPC Group," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama.
Pembukaan rasmi hab makanan halal pertama Paris Baguette diadakan di Nusajaya Tech Park, Johor hari ini.
Majlis itu dihadiri tetamu kenamaan termasuk Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Duta Besar Korea Selatan, Yeo Seung Bae.
Kemudahan yang berpusat di Johor ini direka bagi mengukuhkan rantaian bekalan global syarikat, memperluaskan kapasiti pengeluaran serta mempercepatkan kemasukan ke pasaran yang majoritinya penduduk Islam seperti di Asia Tenggara dan Timur Tengah.
"Dengan sijil halal Malaysia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, kemudahan itu berfungsi sebagai hab pengeluaran utama di rantau ini selain membolehkan kami memenuhi permintaan yang semakin meningkat di seluruh Asia Tenggara, Timur Tengah dan negara seterusnya," kata Lee.
Selain memenuhi aspirasi globalnya, menurut Lee, kemudahan ini juga dijangka memberikan manfaat ekonomi yang signifikan kepada komuniti tempatan terutamanya melalui penciptaan peluang pekerjaan dan kerjasama dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.
"SPC Group komited untuk mencipta nilai ekonomi jangka panjang di Johor dengan menghasilkan peluang pekerjaan dalam bidang pengeluaran, kejuruteraan, rantaian bekalan dan peranan pentadbiran.
"Selain itu, kami juga mahu mengukuhkan ekonomi serantau dengan bekerjasama dengan PKS dan pembekal Malaysia bagi mendapatkan bahan mentah tempatan," katanya.
Syarikat ini juga mengambil peranan aktif dalam pembangunan tenaga kerja dengan meningkatkan kemahiran bakat tempatan melalui teknologi pembuatan makanan termaju dan penyertaan dalam Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC).
"Kami secara aktif menyumbang kepada inisiatif yang memupuk bakat tempatan serta memastikan tenaga kerja yang mahir dan mampan untuk masa depan," kata Lee.
Katanya, lokasi strategik Malaysia dan ekosistem halal yang kukuh turut memperkukuhkan operasi dan rangkaian pengedaran SPC Group.
"Menubuhkan hab makanan halal serantau kami di Johor akan memudahkan aktiviti eksport kumpulan melalui rangkaian logistik global Singapura, meningkatkan ketahanan rantaian bekalan dengan infrastruktur dan tenaga kerja mahir Malaysia serta memperluaskan capaian kami di pasaran yang majoritinya Islam," katanya.
Menurutnya lagi, kerjasama SPC Group dengan kerajaan Malaysia juga memainkan peranan penting dalam pembinaan kemudahan tersebut.
Selain itu, Lee menekankan peranan kerajaan negeri Johor dalam memudahkan kelulusan peraturan selain menghubungkan syarikat dengan pihak berkepentingan utama.
“MIDA menyokong pelaburan kami dengan menyelaraskannya dengan visi Malaysia untuk pertumbuhan industri halal serta memudahkan akses kepada insentif industri halal,” katanya.
Katanya, sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengukuhkan kredibiliti SPC Group di pasaran antarabangsa.
Kemudahan baharu ini juga akan membolehkan SPC Group memperluas kehadiran Paris Baguette di Malaysia sambil memperkenalkan produk roti halal yang inovatif, jelasnya.
"Teknologi doh sejuk beku termaju kami akan mengekalkan keaslian barangan bakeri selain membolehkan ia dibakar dengan segar di kedai.
"Melalui kemampuan pengeluaran yang serba canggih, kami sedang mencipta resipi baharu yang diilhamkan oleh rasa Malaysia, menggabungkan buah-buahan tropika sambil mengekalkan kemahiran seni bakeri Paris Baguette," kata Lee.
Sebagai sebahagian daripada inovasi berterusannya, syarikat ini sedang meneroka tawaran bermusim dan barisan produk baharu untuk meningkatkan pengalaman bakeri di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial