EKONOMI > BERITA

Kapasiti Penggunaan Industri Pembuatan Tujuh Negeri Melepasi Kadar Nasional 81.9 Peratus

25/02/2025 04:45 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Sebanyak tujuh negeri melepasi kapasiti penggunaan industri pembuatan bagi kadar nasional pada 81.9 peratus bagi suku keempat 2024 berbanding 79.9 peratus untun tempoh sama pada 2023, kata Jabatan Perangkaan (DOSM).

Ini membabitkan Wilayah Persekutuan Labuan pada 97.9 peratus dan diikuti Johor (84.8 peratus), Pahang (84.6 peratus), Selangor (84.1 peratus), Melaka (84.0 peratus), Negeri Sembilan (83.2 peratus) dan Terengganu (82.8 peratus).

Dalam kenyataan Statistik Kapasiti Penggunaan Industri Pembuatan Suku Keempat 2024 hari ini, jabatan itu berkata kadar kapasiti terendah dicatatkan oleh Perlis iaitu 67.4 peratus yang susut 5.3 mata peratusan berbanding suku sama pada 2023.

Bagi suku keempat 2024, semua subsektor mencatat kapasiti penggunaan melepasi 80 peratus dengan kadar tertinggi melibatkan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam direka pada 84.7 peratus; diikuti dengan produk tekstil, pakaian, kulit dan kasut(83.4 peratus; kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (82.0 peratus).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata bagaimanapun berbanding suku tahun sebelumnya kapasiti penggunaan industri pembuatan mencatat penurunan kecil iaitu 0.5 mata peratusan (suku ketiga 2024 : 82.4 peratus). 

Berbanding suku sebelumnya, penggunaan kapasiti industri pembuatan mencatat penurunan kecil sebanyak 0.5 mata peratusan (suku ketiga 2024: 82.4 peratus), katanya.

Peningkatan tahun ke tahun dalam prestasi penggunaan kapasiti bulanan dicatat sepanjang suku keempat 2024 iaitu Oktober 2024 (81.9 peratus; +1.5 mata peratusan), November 2024 (82.2 peratus; +2.1 mata peratusan) dan Disember 2024 (81.4 peratus; +2.2 mata peratusan).

Faktor seperti permintaan yang rendah; bekalan bahan tidak mencukupi dan pembaikan serta penyelenggaraan jentera dan peralatan kekal sebagai punca utama kepada kapasiti penggunaan tidak penuh dalam industri pembuatan.

Mohd Uzir berkata penggunaan kapasiti dalam industri berorientasikan eksport meningkat sebanyak 2.4 mata peratus kepada 80.9 peratus (suku kempat 2023: 78.5 peratusan), pembuatan perabot mencatat kadar tertinggi 87.8 peratus dan diikuti oleh pembuatan jentera dan peralatan (86.9 peratusan).

“Namun begitu, dua industri merekodkan kapasiti penggunaan di bawah 80 peratus iaitu pembuatan minyak dan lemak sayuran dan haiwan (77.6 peratus; pembuatan kayu dan produk kayu, gabus kecuali perabot, pembuatan bagi artikel jerami dan bahan-bahan anyaman (76.9 peratus).

“Berbanding suku ketiga 2024, kadar kapasiti penggunaan bagi industri berorientasikan eksport turun secara marginal sebanyak 0.9 mata peratus daripada 81.8 peratus pada suku tahun sebelumnya,” katanya.

Selain itu, kapasiti penggunaan industri berorientasikan domestik kekal positif walaupun pada kadar lebih perlahan iaitu 1.0 mata peratus kepada 83.9 peratus pada suku keempat 2024.

Dua industri dalam segmen itu mencatat kadar kapasiti penggunaan tertinggi iaitu pembuatan produk tembakau (92.0 peratus) dan pembuatan produk galian bukan logam lain (86.6 peratus).

Kadar penggunaan kapasiti terendah dicatat oleh pembuatan kenderaan bermotor, treler dan separa treler pada 79.9 peratus dan diikuti oleh industri pembuatan kertas dan produk kertas dengan 79.0 peratus.

Berbanding suku tahun sebelumnya, kapasiti penggunaan industri berorientasikan domestik tumbuh 0.1 mata peratus daripada 83.8 peratus pada suku ketiga 2024.

“Kadar kapasiti penggunaan bagi industri pembuatan berada pada  81.8 peratus pada 2024, meningkat sebanyak 2.4 peratus berbanding negatif 1.0 mata peratus pada tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan