BERITA TERGEMPAR   Hud Aryan's body found stuck at a tree near the river bank in Tanah Merah this afternoon - Fire and Rescue Department | 
 EKONOMI > BERITA

Untung Bersih Genting Plantation Melonjak Kepada RM323.06 Juta

26/02/2025 07:27 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Genting Plantation Bhd (GenP) meraih keuntungan bersih lebih tinggi pada RM323.06 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024 (TK2024) berbanding RM253.49 juta bagi tempoh sama dalam tahun sebelumnya.

Perolehan hasilnya bagaimanapun menguncup kepada RM2.94 bilion daripada RM2.97 bilion dalam TK2023, disebabkan terutamanya oleh penurunan jumlah jualan dalam segmen pembuatan hiliran, katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagi tempoh suku keempat (S4) TK2024, keuntungan bersih kumpulan meningkat kepada RM112.05 juta berbanding RM63.19 juta pada setahun sebelumnya manakala perolehan hasil meningkat kepada RM856.35 juta daripada RM800.46 juta sebelumnya.

Kumpulan itu berkata penuaian buah tandan segar (BTS) bagi TK2024 juga susut sedikit bagi tahun ke tahun, berikutan keadaan cuaca buruk serta aliran pemangkasan yang rendah.

Pada masa sama, program penanaman semula di estet Malaysia turut menyumbang kepada penurunan pengeluaran berkenaan.

“Di sebalik keadaan itu, GenP meraih harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit dengan purata harga MSM pada RM3,866 satu tan manakala isirung pada RM2,519 satu tan dalam TK2024,” katanya.

Bagi kemajuan masa depan, kumpulan itu akan memantau segmen teras perladangannya yang sebahagian besarnya bergantung kepada pergerakan harga produk sawit dan pengeluaran BTS.

“Dalam jangka masa terdekat ini, harga minyak sawit dijangka kekal disokong oleh bekalan terhad yang diunjur berlanjutan sehingga S1 TK2025 selain peningkatan permintaan musim perayaan dan pelaksanaan mandat biodiesel lebih tinggi secara berperingkat di Indonesia yang turut menjadi antara faktor penyumbang,” katanya.

Bagaimanapun, GenP turut mengingkatkan harga premium minyak sawit berbanding minyak kacang soya berkemungkinan menjejaskan daya saingnya dan berpotensi terus menjejaskan harga minyak sawit.

“Tanpa mengambil kira keadaan cuaca yang buruk, kumpulan menjangkakan penuaian hasil lebih baik bagi 2025, disokong oleh kawasan tambahan serta kematangan ladang ke peringkat hasil lebih tinggi, terutama di Indonesia," katanya.

Selain itu, GenP turut mengumumkan dividen satu peringkat akhir sebanyak empat sen sesaham biasa untuk TK2024 berserta dividen satu peringkat khas sebanyak 13 sen sesaham biasa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan