KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) mencatatkan keuntungan bersih RM31.25 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024 (TK2024) berbanding kerugian bersih RM49.88 juta pada tahun kewangan 2023.
Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, katanya, perolehan hasil meningkat kepada RM2.54 bilion pada TK2024 berbanding RM3.09 bilion sebelumnya, didorong oleh peningkatan enam peratus dalam harga jualan purata (ASP) gula serta peningkatan lapan peratus dalam jumlah jualan, katanya
Bagi suku keempat TK2024, syarikat itu mencapai keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM71.70 juta daripada RM42.87 juta pada suku keempat 2023, manakala perolehan hasil lebih rendah iaitu RM943.60 juta berbanding RM949.88 juta sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM Syed Feizal Syed Mohammad berkata keuntungan syarikat merupakan hasil prestasi operasi lebih kukuh, yang memacu kecekapan kos.
“Industri gula terus berdepan kos input tinggi berpanjangan, dengan harga pengangkutan global dan gas asli yang kekal tinggi.
“Selain itu, harga gula mentah yang tidak menentu berikutan jumlah pengeluaran global yang sentiasa berubah.
“Bagi mengurangkan risiko ini, MSM terus meningkatkan amalan lindung nilai gula mentahnya sebagai sebahagian daripada strategi pengurusan yang lebih luas,” katanya.
Syed Feisal berkata di sebalik semua cabaran itu, kumpulan itu kekal komited untuk mengukuhkan kedua-dua pasaran domestik dan eksport di tengah-tengah permintaan yang stabil, sambil aktif meneroka peluang serantau.
Selain itu, katanya, industri gula sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk memuktamadkan mekanisme penetapan harga yang mampan bagi segmen runcit domestik dan menguruskan gula halus import.
“Kerjasama ini penting dalam memastikan keterjaminan makanan dan kemampanan jangka panjang industri gula tempatan.
“MSM akan meneruskan pertumbuhan dan keuntungan tahun ke tahun, dengan menyasar untuk kembali membayar dividen bagi saham, disokong oleh dasar dividennya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial