EKONOMI > BERITA

MOSTI, XMU Dan GMPT Software Jalin Kerjasama Kukuhkan Industri Semikonduktor Malaysia

28/02/2025 11:45 PM

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam industri semikonduktor global melalui kerjasama strategik dengan Universiti Xiamen (XMU) dan GMPT Software.

MIMOS Berhad (MIMOS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan melalui kerjasama strategik berkenaan, XMU telah menaja dan menyerahkan perisian simulasi semikonduktor bernilai US$2 juta daripada General Mathematical-Physics Technology Co., Ltd. (GMPT) kepada MIMOS Berhad.

Perisian TCAD (Technology Computer-Aided Design) yang canggih ini akan meningkatkan pemodelan peranti, pencirian bahan dan pengoptimuman proses, yang memberi manfaat kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta aplikasi industri.

MIMOS memaklumkan bahawa penajaan ini mengukuhkan ekosistem semikonduktor Malaysia, menyokong kemajuan teknologi, pembangunan bakat dan daya saing global dalam industri semikonduktor.

“Inisiatif ini menandakan langkah penting dalam memajukan R&D semikonduktor di Malaysia. Penajaan teknologi oleh Universiti Xiamen China menandakan pencapaian besar dalam kerjasama kerajaan dengan kerajaan (G2G) antara Malaysia dan China,” menurut kenyataan itu.

“Dibangunkan oleh GMPT Software, perisian TCAD yang canggih ini membolehkan simulasi tepat bagi peranti semikonduktor, yang penting untuk pembangunan cip generasi akan datang. Untuk memaksimumkan impaknya, MIMOS akan mengehoskan dan menguruskan perisian ini melalui Pusat Inovasi Teknologi Industri (ITIC) dan Akademi MIMOS.

“Perisian ini akan tersedia di MIMOS dengan sesi latihan dalam talian yang memudahkan penerimaan yang lancar oleh bakat dan profesional tempatan,” menurut kenyataan itu.

Turut hadir dalam majlis penyampaian penajaan berkenaan ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang serta delegasi Universiti Xiamen yang terdiri daripada Ahli Akademi Sains China dan Presiden Universiti Xiamen Malaysia Prof Wang Ruifang.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif GMPT Software Yang Meng dan Pengerusi Majlis Universiti Xiamen Prof Zhang Rong.

Sementara itu, Chang berkata kerjasama ini merupakan pengubah keadaan bagi ekosistem semikonduktor Malaysia dan dengan perisian ini yang kini tersedia di MIMOS, Malaysia boleh mempertingkatkan kemampuan R&D, melatih bakat tempatan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor global.

“Kami berterima kasih kepada Universiti Xiamen dan GMPT Software atas kerjasama mereka yang berpandangan jauh,” katanya.

--BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan