EKONOMI > BERITA

Kadar Dividen KWSP 6.30 Peratus Adalah Tertinggi Dalam Tempoh Tujuh Tahun - CEO

01/03/2025 06:05 PM

SHAH ALAM, 1 Mac (Bernama) -- Kadar dividen 6.30 peratus yang diumumkan untuk Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah bagi 2024 adalah yang tertinggi untuk tempoh sejak 2017, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Ahmad Zulqarnain Onn.

Bagi 2017, KWSP mengisytiharkan dividen 6.90 peratus untuk Simpanan Konvensional manakala 2018 sebanyak 6.15 peratus, 2019 (5.45 peratus), 2020 (5.20 peratus), 2021 (6.10 peratus), 2022 (5.35 peratus), dan 2023 (5.50 peratus).

Bagi Simpanan Shariah, dividen diisytiharkan untuk 2017 sebanyak 6.40 peratus, 2018 (5.90 peratus), 2019 (5.0 peratus), 2020 (4.90 peratus), 2021 (5.35 peratus), 2022 (4.75 peratus), dan 2023 (5.40 peratus).

Beliau berkata antara faktor yang mendorong kadar dividen itu adalah pasaran ekuiti di Malaysia yang meningkat 12.7 peratus serta pasaran ekuiti seluruh dunia yang naik 17 peratus.

“Maka, kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia juga agak bagus dengan 5.1 peratus.

“Ini adalah faktor-faktor yang menyebabkan dividen KWSP naik daripada 5.5 peratus pada 2023 kepada 6.3 peratus bagi 2024,” katanya kepada pemberita pada KWSP 2024: Taklimat Dividen di sini, pada Sabtu.

KWSP hari ini mengumumkan kadar dividen 6.30 peratus bagi Simpanan Konvensional dengan jumlah agihan RM63.05 bilion dan 6.30 peratus bagi Simpanan Shariah dengan jumlah agihan RM10.19 bilion.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan agihan bagi 2024 adalah RM73.24 bilion.

Menurut KWSP, bermula tahun lepas KWSP mengasingkan Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah supaya setiap dana itu boleh diuruskan dengan cara tersendiri.

“Kita boleh membuat strategi berasingan dan berlainan mengikut pasaran aset yang ada di dalam kedua-dua dana tersebut. Itulah sasaran kita untuk jangka masa panjang iaitu kadar dividen lebih kurang sama.

“Dari tahun ke tahun mungkin berbeza tetapi secara kebetulan tahun ini sama, tak semestinya (kadar dividen itu akan) sama nanti,” katanya.

Simpanan Shariah telah dilancarkan pada Januari 2017.

Mengulas mengenai prospek dividen bagi 2025, Ahmad Zulqarnain berkata KWSP tidak dapat menjangkakan kadar dividen itu kerana bergantung kepada beberapa cabaran dari segi risiko geopolitik serta risiko perdagangan antarabangsa termasuk yang akan dilaksanakan oleh Amerika Syarikat.

Mengenai akaun fleksibel yang dilancarkan pada Mei 2024, beliau berkata pengeluaran daripada akaun itu berjumlah RM12.2 bilion pada 2024, satu angka yang lebih rendah daripada RM25 bilion yang dijangkakan pada awalnya.

“Daripada keahlian kami, kami mendapati 70 peratus tidak menggunakan akaun fleksibel dan hanya 30 peratus daripada empat juta ahli membuat pengeluaran daripada akaun tersebut.

“Kami gembira dengan nisbah ini yang menunjukkan majoriti rakyat Malaysia berhasrat untuk mengekalkan simpanan persaraan mereka,” katanya.

Ahmad Zulqarnain juga berkata aset di bawah pengurusan KWSP pada 2024 meningkat kepada RM1.25 trilion, peningkatan sebanyak 10 peratus tahun ke tahun, dan kadar pertumbuhan jangka masa panjang pada 8.5 peratus tahun ke tahun bagi tempoh dua dekad.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan