EKONOMI > BERITA

KWSP Antara Dana Persaraan Terbesar Di Dunia - CEO

01/03/2025 04:26 PM

SHAH ALAM, 1 Mac (Bernama) -- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berada di ranking ke-13 sebagai dana persaraan terbesar di dunia dan kelima terbesar di Asia setakat September 2024, kata Ketua Pegawai Eksekutif Ahmad Zulqarnain Onn.

Beliau berkata jumlah saiz dana KWSP setakat September tahun lepas adalah US$247 bilion.

“KWSP adalah antara dana pencen terbesar di dunia. Kami akan terus meningkatkan dan menjangkakan pertumbuhan dalam tempoh dua dekad akan datang kira-kira pada kadar yang sama -- kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) antara lapan hingga sembilan peratus,” katanya semasa KWSP 2024: Taklimat Dividen di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata KWSP telah mencatatkan peningkatan dari segi kadar simpanan purata dan median ahlinya.

Setakat 31 Dis, 2024, aset pelaburan KWSP berjumlah RM1.25 trilion, dengan 63 peratus daripadanya dilaburkan dalam pasaran domestik.

KWSP menjelaskan pelaburan domestik menjana RM37.02 bilion atau 49.7 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan, memberikan kestabilan kepada jumlah keseluruhan pendapatan pelaburan KWSP.

Aset global pula menjana pendapatan sebanyak RM37.44 bilion atau 50.3 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.

KWSP hari ini mengumumkan kadar dividen 6.30 peratus bagi Simpanan Konvensional dengan jumlah agihan RM63.05 bilion. dan 6.30 peratus bagi Simpanan Shariah dengan jumlah agihan RM10.19 bilion.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan agihan untuk 2024 sebanyak RM73.24 bilion, memberi manfaat kepada lebih 16 juta ahli.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan