EKONOMI > BERITA

MIFF Pacu Pertumbuhan Industri Perabot Malaysia - Johari

01/03/2025 07:53 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF) menjadi pemangkin utama dalam mencorak dan memartabatkan industri perabot Malaysia, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata MIFF menyediakan platform utama untuk perniagaan mempamerkan ketukangan, memupuk perkongsian serta meneroka aliran reka bentuk dan pembuatan.

“Industri perabot Malaysia telah menunjukkan pertumbuhan dan daya tahan luar biasa. Saya berbesar hati untuk berkongsi bahawa eksport produk kayu mencecah RM22.9 bilion pada 2024, mencatatkan peningkatan 4.9 peratus.

“Pencapaian ini meletakkan industri perkayuan sebagai penyumbang ketiga terbesar eksport komoditi kami. Pada 2024, eksport perabot kayu Malaysia mencatatkan RM9.9 bilion, mencerminkan peningkatan 8.4 peratus daripada tahun sebelumnya,” katanya sensa berucap pada perasmian MIFF di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan Timbalannya Datuk Chan Foong Hin.

Johari berkata pertumbuhan dalam industri perabot tempatan mencerminkan komitmen pengilang tempatan terhadap standard kualiti tinggi serta memenuhi permintaan pasaran antarabangsa.

Beliau berkata eksport perabot Malaysia mendapat permintaan tinggi di seluruh Amerika, Asia dan Eropah, memperkukuh usaha untuk mencapai sasaran eksport kayu balak RM28 bilion menjelang 2025 di bawah  Dasar Agrikomoditi Negara 2030.

Sementara itu, Pengerusi dan Pengasas MIFF Datuk Dr Tan Chin Huat berkata MIFF membimbing pereka perabot muda dan menghubungkan mereka dengan pemain industri sekali gus merangsang kreativiti dan peluang perniagaan.

“Kombinasi perdagangan dan kreativiti itu membolehkan MIFF berperanan sebagai pemacu inovasi … MIFF bukan sekadar platform perdagangan perabot; ia adalah ekosistem dinamik yang menyuburkan kreativiti dan inovasi dalam industri perabot.

"Dengan menghimpunkan pereka, pengilang, pereka dalaman dan arkitek di bawah satu bumbung, MIFF mewujudkan komuniti yang mengembangkan idea dan kerjasama," katanya.

MIFF 2025 anjuran Informa Markets Malaysia Sdn Bhd akan berlangsung selama empat hari, disertai  742 pempamer dari 12 negara dan wilayah selain dijangka menarik 20,000 pengunjung dari lebih 140 negara.

Bertempat di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), dengan keluasan 100,000 meter persegi, MIFF menghimpunkan pemain industri dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam, Hong Kong, Jepun, China, Korea Selatan, Taiwan, India, Emiriah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat.

Antara yang menjadi tumpuan kali ini adalah teknologi Palm Loop dari Jepun oleh Panasonic Housing Solutions, membolehkan pengeluar menggunakan bahan perabot berkualiti tinggi daripada batang kelapa sawit. Pempamer terkemuka yang menggunakan teknolgi ini, termasuk Shantawood, Panelbase System Industries, Synergy Wood Products, Distinctive Fine Furniture, Estay Furniture, SLK Furniture Design, Sincerity Furniture, dan Yeu Hong Furniture Industries.

MIFF 2025 juga memperkenalkan platform seperti xOrdinary Showcase bertemakan “Play” yang mencabar reka bentuk perabot konvensional, serta KL iDesign Week yang julung kali diadakan dengan kerjasama Guangzhou Design Week bagi mengangkat reka bentuk Asia ke peringkat global.

Di WTCKL, pengunjung berpeluang meneroka MIFF-MIFD International Luxury Residence Design Showcase manakala MIFF OFFICE menjadi pameran perabot pejabat terbesar di Asia Tenggara.

Majlis Anugerah MIFF yang akan diadakan pada 3 Mac pula bakal mengiktiraf kecemerlangan industri melalui anugerah seperti Best Presentation Award (BPA) dan Furniture Excellence Award (FEA).

Selain pameran, MIFF 2025 juga menawarkan sesi rangkaian dan perkongsian pengetahuan dengan pakar industri manakala acara seperti Buyers’ Night bertujuan mengukuhkan lagi hubungan perniagaan.

Dengan kerjasama berterusan dengan Persatuan Perabot Muar (MFA), MIFF terus mengukuhkan kehadiran eksport Malaysia di peringkat Global. Bagi memberikan pengalaman luar biasa kepada pengunjung, MIFF 2025 memperkenalkan ‘MIFF Furniverse App 2.0’ yang telah ditambah baik untuk memudahkan navigasi, butiran pempamer dan kemas kini masa nyata.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan