EKONOMI > BERITA

Kenanga Kekalkan Penarafan Wajaran Tinggi Terhadap Sektor Perladangan

11/03/2025 12:55 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga) mengekalkan penarafan “overweight” atau wajaran tinggi terhadap sektor perladangan susulan harga minyak sawit mentah (MSM) yang kukuh selain defisit bekalan global yang berterusan walaupun eksport lemah.

Dalam nota tinjauannya hari ini, cabang penyelidikan bank pelaburan itu berkata data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan inventori minyak sawit jatuh kepada 1.512 juta tan pada Februari 2025 iaitu susut 4.0 peratus bulan ke bulan dan 21 peratus bagi tahun ke tahun.

Walaupun masih di bawah purata 10 tahun, angka itu berada dalam lingkungan 1.0 peratus daripada konsensus pasaran dan 8.0 peratus melebihi unjuran Kenanga.

“(Faktor) hujan lebat, bulan bekerja lebih singkat dan cuti Tahun Baru Cina (29 Jan-12 Feb, 2025) telah menjejaskan pengeluaran MSM yang susut 4.0 peratus bulan ke bulan dan 6.0 peratus bagi tahun ke tahun.

“Eksport juga susut mendadak bagi bulan ke bulan namun secara menyeluruh kekal tidak berubah pada 1.002 juta tan memandangkan harga MSM naik 2.0 peratus pada RM4,759 satu tan berbanding bulan sebelumnya dan 20 peratus lebih tinggi berbanding setahun lepas.

“Keadaan itu menyebabkan pembeli, termasuk India untuk beralih kepada alternatif lebih murah seperti minyak bunga mata hari dan kemudiannya minyak kacang soya,” katanya.

Susulan itu, Kenanga menjangkakan purata harga MSM dalam julat RM4,600 hingga RM4,700 setiap tan bagi suku pertama 2025 yang melebihi unjuran awal pada awal tahun.

“Sehubungan itu, kami menaikkan unjuran harga MSM 2025 daripada RM4,000 kepada RM4,200 satu tan berikutan musim pelaporan akhir Februari.

“Namun, kami mengekalkan jangkaan harga MSM pada purata RM4,000 satu tan pada 2026 berikutan harga premium berbanding minyak sayuran lain yang lebih kecil," katanya.  

Pada masa sama, Kenanga berkata defisit bekalan terus mengekalkan harga minyak makan yang tinggi dengan indeks harga minyak sayuran Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) bagi Februari 2025 meningkat 2.0 peratus bagi bulan ke bulan dan 25 peratus untuk tahun ke tahun.  

“Hasil tuaian Malaysia yang rendah serta ancaman serangan cacing telah menyokong harga minyak sawit manakala premium harga MSM kepada minyak kacang soya kekal ada namun dijangka menyusut apabila harga MSM berkurangan manakala harga minyak kacang soya kekal kukuh atau meningkat.

“Secara keseluruhannya, minyak makan kekal tinggi walaupun harga minyak sawit susut baru-baru ini dengan purata harga MSM 2024-2025 pada RM4,000 satu tan.

“Konslidasi seterusnya dijangka merentasi pelbagai minyak boleh dimakan, walaupun prospek keseluruhan kekal kukuh disebabkan defisit bekalan yang berterusan," katanya.

Kenanga berkata defisit bekalan dijangka semakin ketara pada 2025 berikutan pengembangan kelapa sawit yang tidak stabil sejak 2018/2019 telah memperlahankan pertumbuhan bekalan kepada 2.0-3.0 peratus bagi tahun ke tahun.

“Harga yang kukuh dijangka mengekang permintaan dengan 70 peratus minyak makan digunakan dalam industri makanan, 22 peratus hingga 25 peratus untuk pengeluaran biodiesel dan baki bagi oleokimia dan industri lain.

“Jualan biodiesel sebenar lebih tinggi disebabkan oleh kitar semula sebanyak 15 juta hingga 20 juta tan minyak masak terpakai untuk pengeluaran biodiesel yang menjadikan jumlah pasaran biodiesel menghampiri 25-30 peratus daripada pasaran minyak makan utama," katanya.  

Jika harga minyak dimakan terus meningkat, kerajaan boleh mengurangkan campuran biodiesel untuk membendung inflasi makanan yang lebih sensitif dari segi politik, kata Kenanga.

Sektor minyak sawit huluan pula dijangka memaparkan prestasi baik pada 2025 berikutan harga MSM kekal kukuh manakala kos pengeluaran kekal stabil.

"Gaji minimum di Malaysia dan Indonesia telah meningkat sebanyak 16 peratus. Apabila caruman 2.0 peratus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing berkuat kuasa kelak, kos tenaga kerja diunjur meningkat sebanyak 6.0 peratus kepada 8.0 peratus bagi tahun ke tahun," katanya.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan