KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- AwanBiru Technology Bhd (Awantec), melalui anak syarikatnya Awantec Systems Sdn Bhd melancarkan Program Latihan AI Gemini untuk melengkapkan ahli profesional dan perniagaan dengan kemahiran produktiviti yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan di tempat kerja.
Program latihan berkenaan menyediakan latihan tentang bagaimana memanfaatkan AI secara berkesan dan pemahaman menyeluruh mengenai aplikasi dan penggunaan AI dalam bidang-bidang seperti AI generatif, model bahasa besar (LLM), Google Workspace, dan teknik kejuruteraan segera.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Awantec Azlan Zainal Abidin berkata AI bukan lagi sekadar teknologi baru muncul, tetapi satu keperluan untuk perniagaan yang ingin kekal berdaya saing.
"Melalui Program Latihan AI Gemini kami, kami melengkapkan golongan profesional dengan pengetahuan dan kemahiran praktikal yang diperlukan untuk menyepadukan AI ke dalam operasi harian mereka secara lancar, seterusnya memacu tahap kecekapan dan inovasi baharu," katanya.
Awantec berkata setiap peserta dikenakan bayaran antara RM750 dan RM950 dan bergantung kepada tahap penyesuaian serta direka untuk kumpulan 20 hingga 25 peserta, dengan kadar promosi tersedia sehingga 30 Jun, 2025.
Peserta yang menamatkan program latihan itu akan menerima sijil rasmi.
"Program Awantec ini akan memastikan pengalaman pembelajaran yang luar biasa melalui pengajaran yang dikendalikan oleh profesional AI yang diperakui dengan pengalaman industri, pembelajaran secara praktikal melalui latihan interaktif, dan kurikulum komprehensif yang merangkumi asas-asas AI hinggalah kepada aplikasi lanjutan bagi memastikan peserta memperoleh kemahiran yang tersedia untuk pekerjaan," kata syarikat itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial