EKONOMI > BERITA

Sekatan Eksport CIP AI As Boleh Buka Peluang Malaysia Perkukuh Teknologi Tempatan - MITI

06/03/2025 09:47 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Malaysia berpeluang untuk menggalak serta memperkukuh keupayaan tempatan dalam pembangunan teknologi sekiranya Amerika Syarikat (AS) melaksanakan sekatan eksport cip kecerdasan buatannya (AI).

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata langkah itu yang selari dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia (NIMP) 2023 akan dapat mendorong inovasi tempatan, mempercepat pembangunan ekosistem AI Generatif, serta memperkukuh usaha mencapai sasaran 3,000 kilang pintar menjelang 2030.

Menurut kementerian itu, cip AI juga merupakan komponen penting yang diperlukan untuk operasi pusat data AI dan rantau awan yang kini sedang dibangunkan oleh Amazon, Google, Microsoft dan Oracle di Malaysia.

“Namun, operasi pusat data lain yang memberi perkhidmatan transaksi, e-dagang, media dan penyimpanan data dijangka tidak terjejas oleh sekatan ini.

“Malaysia dilihat akan menghadapi cabaran dalam pembangunan pusat data AI tetapi tidak menjejaskan keseluruhan ekosistem perniagaan pusat data,” kata MITI menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Dewan Negara hari ini.

Kementerian itu berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator Datuk Wira Koh Nai Kwong yang meminta MITI menyatakan pandangan kerajaan berhubung sekatan akses penuh cip AI oleh AS dan sejauh mana sekatan ini memberi implikasi terhadap sektor semikonduktor dan pusat data yang sedang giat dibangunkan di Malaysia.

MITI berkata dalam menangani cabaran itu, kerajaan boleh memanfaatkan platform kerjasama dua hala yang telah dibangunkan sebelum ini, termasuk Memorandum Kerjasama dengan AS mengenai Ketahanan Rantaian Bekalan Semikonduktor yang ditandatangani pada 2022.

“Kerjasama itu membolehkan dialog dan pertukaran maklumat mengenai faktor yang boleh menjejaskan rantaian bekalan serta langkah-langkah mencegah gangguan bekalan semikonduktor.

“Oleh itu, Malaysia boleh menggunakan platform ini untuk membincangkan sekatan eksport cip AI secara rasmi dengan kerajaan AS bagi memastikan kepentingan industri teknologi dan pusat data di Malaysia terus terpelihara,” katanya.

Menurut MITI, kerajaan juga akan meneroka kerjasama dengan negara lain yang mempunyai kebolehan untuk menghasilkan cip AI bagi kegunaan pelbagai industri di Malaysia dan seterusnya mengurangkan kebergantungan teknologi cip AI dari AS.

Selain itu, kerajaan akan bertindak secara sewajarnya selaras Strategi Semikonduktor Nasional bagi memastikan industri yang bergantung kepada teknologi AI termaju itu tidak terjejas atau diminimumkan impaknya dalam ekosistem sektor elektrik dan elektronik di Malaysia.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan