BELANJAWAN 2024 > BERITA

RTG Perlukan Masa Untuk Membuahkan Hasil - Beasley

14/08/2024 08:08 PM

SEPANG, 14 Ogos (Bernama) -- Program Road to Gold (RTG) perlu diberi masa yang mencukupi bagi membolehkan ia melaksanakan misinya untuk menyumbang pingat emas pertama Sukan Olimpik kepada Malaysia, kata jutulatih berbasikal trek negara John Beasley. 

Beliau berkata program itu perlu diberi ruang untuk terus dilaksanakan tanpa gangguan dan beliau berpandangan ia mungkin memerlukan sekurang-kurangnya satu lagi kitaran Olimpik untuk menilai keberkesanannya.

“Ini adalah program elit, anda harus faham bahawa ia akan memerlukan masa, untuk membina prestasi pingat emas itu.

“Berikan Malaysia peluang untuk memupuk pembangunan atlet terbaik dan saya jamin ia akan dapat memberikan pulangan 10 kali ganda, tetapi jika dihentikan, proses itu terpaksa dimulakan dari bawah - sekali lagi,” katanya sambil berkata tindakan menghentikan dan memulakan inisiatif pada masa lepas telah membantutkan kemajuan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pulang dari Sukan Olimpik Paris 2024 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Jurulatih dari Australia itu berkata program RTG setakat ini berjaya memenuhi keperluan atlet dari segi peralatan atau sokongan emosi, dan beliau percaya jika diteruskan, ia sudah pasti hanya menunggu masa untuk menyumbang pingat emas kepada Malaysia.

“Saya rasa anda boleh lihat apa yang telah mulakan. Walaupun tidak membawa sebarang pingat emas, perak atau gangsa kali ini, tetapi anda dapat melihat persembahan atlet. Ada beberapa persembahan yang sangat baik pada Olimpik kali ini, jadi tolong jangan ganggu atlet atau hentikan program itu,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata pada masa hadapan, program itu hanya perlu disediakan untuk atlet terbaik dan elakkan sebarang gangguan daripada unsur-unsur ‘politik’ untuk memastikan ia berjalan sebagaimana yang diharapkan.

Program RTG diperkenalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tahun lepas sebagai projek nasional dengan objektif untuk menyelaraskan usaha negara dalam memburu pingat emas sulung di Sukan Olimpik.

Ia bagaimanapun masih belum membuahkan hasil pada Sukan Olimpik Paris 2024 kerana kontinjen negara tidak memperoleh sebarang pingat emas, sekadar meraih dua pingat gangsa menerusi pemain perseorangan badminton lelaki Lee Zii Jia dan beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Sementera itu Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill berkata program RTG harus mempunyai kesinambungan demi memastikan pelumba negara berupaya memberi saingan lebih kompetitif di peringkat tertinggi.

Beliau juga berharap agar program ini dapat diteruskan secara konsisten tanpa perlu menghadapi kebimbangan bahawa ia mungkin akan dibatalkan atau diubah oleh pentadbiran akan datang.

Justeru, beliau berharap Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, selaku Pengerusi Bersama RTG, dapat . mempertimbangkan untuk menggabungkan ahli persatuan untuk sukan disertakan bagi memastikan sinergi yang baik dalam kalangan semua pemegang taruh dalam program tersebut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan