BELANJAWAN 2024 > BERITA

Skuad Bola Tampar Pantai Pulau Pinang Berlatih Di Songkhla

15/08/2024 09:58 AM

Oleh Siti Azila Alias

BALIK PULAU, 15 Ogos (Bernama) -- Pasukan bola tampar pantai Pulau Pinang merentasi sempadan ke Thailand untuk berlatih di Pantai Samila dekat Songkhla selama lima hari sebagai persediaan menggalas cabaran membawa pulang pingat pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak.

Pasukan yang mempertaruhkan empat pemain lelaki dan empat wanita termasuk dua atlet kebangsaan iaitu Nur Auni Maisarah Shamsulrizal, 17, bergandingan dengan Farwizah Aina Ahmad Nizar, 20, berlatih di negara jiran itu pada 5 hingga 9 Ogos lepas.

Pengurus pasukan Muhammad Noor Aizuddin Omar berkata pemain telah menjalani latihan secara intensif sejak tiga bulan lepas bagi membentuk sebuah skuad yang mantap sekali gus berpotensi meraih pingat pada temasya dwitahunan yang akan membuka gelanggang secara rasmi pada 17 Ogos ini.

"Latihan untuk SUKMA sebenarnya telah dimulakan sejak dua tahun lepas, tetapi (latihan) secara intensif tiga bulan. Setakat ini, kita lihat kesediaan semua pemain berada pada tahap tertinggi dan kita harap mereka dapat melakukan yang terbaik di Sarawak nanti.

"Mereka juga ada menyertai beberapa kejohanan peringkat kebangsaan tahun lepas antaranya Kejohanan Bola Tampar Pantai Terbuka Negeri Sembilan dan Kejohanan Bola Tampar Pantai Terbuka di Desaru, Johor yang menyaksikan pasukan wanita berjaya memperoleh emas dalam kedua-dua pertandingan tersebut," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada sesi latihan di Pantai Teluk Bahang, di sini.

Selain Nur Auni dan Farwizah Aina, pasukan bola tampar Pulau Mutiara turut dibarisi Noor Aishah Iskandar,19, dan Nur Adrieanna Safieya Azhar,16, manakala bagi kategori lelaki diwakili Muhammad Afizal Adnan,17, Adam Danish Zamri Abdullah,16, Muhammad Hafiz Azmi,19 dan Muhammad Fariez Suhaimi,18.

Sementara itu, jurulatih Bun Lai berkata di samping latihan, pihaknya turut menekankan aspek penjagaan fizikal termasuk menjalani diet yang ketat bagi membolehkan atlet mengekalkan stamina serta berat badan ideal menjelang pertandingan nanti.

Beliau berkata pemain turut dikuarantin sejak tiga minggu lepas bagi membolehkan pemantauan dibuat selain mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku apatah lagi pasangan utama Nur Auni dan Farwizah Aina diletakkan sebagai pilihan untuk menyumbang emas. 

Menurutnya Noor Aishah dan Nur Adrieanna Safieya pula merupakan harapan bagi pingat perak atau gangsa berdasarkan prestasi semasa mereka.

"Bagi pasukan lelaki, ini merupakan kali pertama kita hantar wakil ke SUKMA jadi saya harap dapat beri pendedahan dan pengalaman supaya pada SUKMA akan datang mereka akan menjadi pesaing kepada pasukan dari negeri lain terutama Johor, Perak dan Wilayah Persekutuan.

"Meskipun berstatus bukan pilihan (underdog) tetapi mana tahu mereka mampu melakar kejutan...mereka boleh sampai ke separuh akhir pun sudah merupakan satu pencapaian baik," katanya.

Dalam pada itu, Nur Auni berharap dapat melakukan yang terbaik demi membantu Pulau Pinang membawa pulang pingat dalam penampilan sulungnya di temasya dwitahunan itu. 

"Saya rasa sedikit gemuruh tetapi pada masa sama teruja. Bagaimanapun, berbekalkan pengalaman serta tunjuk ajar daripada jurulatih kami harap dapat tunjukkan prestasi terbaik di SUKMA nanti," katanya yang berkecimpung selama empat tahun dalam sukan tersebut.

Fawiza Aina pula yakin keserasian yang dibentuk bersama Nur Auni sejak 2020 akan dapat diterjemahkan sebaik mungkin di arena nanti.

Bagi Noor Aishah dan Nur Adrieanna pula, meskipun tahun ini merupakan SUKMA kedua yang disertai selepas Kuala Lumpur 2022, namun ini merupakan julung kali mereka berpasangan.

Kedua-dua atlet itu optimis dengan keserasian yang dibina sejak setahun lepas selain komunikasi baik antara mereka dapat menghadiahkan pingat buat pasukan.

Kesemua atlet akan berlepas ke Sarawak hari ini dan acara akan bermula pada 17 hingga 23 Ogos di Union Yes Retreat, Lundu.

Pada edisi lepas, pasukan bola tampar pantai wanita Pulau Pinang berjaya meraih satu pingat perak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan