BELANJAWAN 2024 > BERITA

DUN Nenggiri Miliki Potensi Jadi Destinasi Ekopelancongan

15/08/2024 11:12 AM

Oleh Mohd Noor Iqram Rosli

GUA MUSANG, 15 Ogos (Bernama) -- Pemandangan suasana pergunungan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang dihiasi landskap menarik seperti anak sungai, gua, dan bukit-bukau, sering mengundang kunjungan pelawat untuk menikmati keindahannya, kata Malim Gunung Mohamad Saifful Rizal Jusoh.

Beliau berkata ada kira-kira 20 gunung di sekitar Gua Musang dekat sini, sering menjadi pilihan pendaki dari dalam dan luar negara untuk merasai pengalaman mendaki ke puncak gunung sambil menikmati setiap keunikan khazanahnya.

Antara kawasan pendakian di dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) yang popular di Gua Musang adalah Gunung Charlie, Gunung Yong Belar, Gunung Yong Yap, Gunung Tok Nenek dan Gunung Bukit Tajam.

"Paling menarik ialah Gunung Chamah dalam kawasan DUN Nenggiri di Kampung Rekom dekat Pos Simpor, yang merupakan antara gunung tinggi di semenanjung.. sebenarnya banyak gunung menarik di kawasan ini yang boleh dijadikan tarikan ramai terutama kepada peminat sukan pendakian," kata Mohamad Saiful, 42, kepada Bernama baru-baru ini.

Dengan kewujudan panorama indah dalam kawasan DUN Nenggiri yang dianggarkan seluas 235,300 hektar itu, tidak syak lagi kawasan ini mempunyai potensi besar menjadi destinasi ekopelancongan di Kelantan yang perlu diterokai.

Hampir 70 peratus kawasan DUN ini dilitupi hutan dan bukit bukau, dikelilingi ladang kelapa sawit serta getah, selain kawasan Sungai Nenggiri yang merupakan anak sungai kepada Sungai Kelantan pastinya akan menambat hati pencinta alam yang dambakan kehijauan flora fauna.

Tujuh stesen kereta api yang melalui kawasan Nenggiri menjadi sebahagian daripada pengangkutan utama bagi anak perantau, di samping turut menggamit kunjungan pelawat dari dalam dan luar negara.

Seorang penduduk Kampung Pulau Setelu di sini, Shahrul Izham Ahmat, 23, berpandangan bagi menarik ketibaan lebih ramai pelancong ke sini, kawasan yang berhampiran dengan Sungai Nenggiri juga boleh dilengkapi dengan pelbagai aktiviti di air seperti berkayak dan rakit redah jeram, mengikut kesesuaian lokasi.

"Apabila ada aktiviti yang menarik ditawarkan di kawasan sungai ini, ia secara tidak langsung dapat menjana pendapatan penduduk setempat dengan kehadiran pelancong.

Malah aktiviti hiliran seperti akuakultur juga mampu mewujudkan lbanyak peluang pekerjaan di samping menjadi penyumbang kepada kemajuan sosioekonomi penduduk,” katanya.

Seorang lagi penduduk Siti Nurhartini Mohd Yaki, 34, pula berpandangan masih banyak lagi sungai, gunung atau air terjun seperti di Jeram Pelangi, Renok yang boleh diteroka dan dibangunkan menjadi destinasi pilihan pelancong.

"Kita juga boleh bina rumah inap desa atau chalet serta menyediakan kemudahan infrastruktur yang baik dan selesa untuk menarik lebih ramai pelancong.

"Memang tidak dinafikan terlalu banyak kawasan di Nenggiri ini yang sangat sesuai kepada pencinta alam semula jadi. Saya harap kawasan-kawasan ini dibangunkan dengan sebaiknya demi kesejahteraan penduduk setempat," katanya.

Sabtu ini akan menyaksikan 20,259 pengundi diberikan mandat untuk memilih wakil bagi penduduk dalam kawasan DUN Nenggiri.

Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan