BELANJAWAN 2024 > BERITA

Program MADANI Rakyat Zon Selatan 2024 Buka Tirai

15/08/2024 12:56 PM

JOHOR BAHRU, 15 Ogos (Bernama) -- Program MADANI Rakyat Zon Selatan 2024 yang berlangsung di Dataran UTM, Skudai, membuka tirai hari ini, menyasarkan lebih 100,000 pengunjung. 

Program yang merangkumi Johor, Negeri Sembilan dan Melaka menawarkan pelbagai perkhidmatan terus kepada rakyat melalui penyertaan 34 kementerian serta agensi kerajaan dan negeri, dengan 175 perkhidmatan langsung tersedia sepanjang program.

Seperti program MADANI Rakyat di zon utara, pantai timur dan tengah; program di Zon Selatan turut menyediakan khidmat pembayaran saman trafik Polis Diraja Malaysia dengan diskaun sehingga 50 peratus, penukaran topi keledar serta al-Quran lama.

Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati Jualan MADANI yang menawarkan potongan harga bagi barangan keperluan harian dengan penyertaan 136 usahawan yang terlibat dalam pelbagai segmen jualan seperti Jualan Rahmah, Agro, Koperasi, Usahawan, Santapan Selatan dan Food Truck.

Program ini bukan sahaja tertumpu kepada jualan dan perkhidmatan tetapi juga menyediakan pelbagai aktiviti luar untuk semua peringkat umur.

Ia termasuk perkhidmatan kesihatan, pengagihan benih pokok, padanan perniagaan, zoo haiwan jinak, menunggang kuda, pertandingan memancing, pertandingan e-sukan, pertandingan kereta kawalan jauh (RC) dan fun run sejauh lima kilometer.

Pengunjung juga berpeluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah di reruai kementerian, menyaksikan demonstrasi kraf, persembahan kebudayaan serta pameran aset kerajaan daripada empat agensi. 

Selain itu, Karnival Kerjaya MyFuture Jobs turut menawarkan 2,125 kekosongan jawatan daripada 21 majikan.

Program MADANI Rakyat Zon Selatan kali ini memberi tumpuan kepada lapan bidang utama, termasuk Ekonomi MADANI, kesejahteraan rakyat, agenda perpaduan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pertanian dan keterjaminan makanan, karnival kerjaya, serta pameran dan perkhidmatan pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) serta Kecerdasan Buatan (AI).

Kemuncak program ini adalah Majlis Penutup yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 17 Ogos. 

Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan dianjurkan oleh Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), dengan kerjasama strategik Kementerian Ekonomi dan kerajaan Johor. 

Ia merupakan kesinambungan Program Setahun Kerajaan MADANI yang telah diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Disember 2023. 

Program ini memberi peluang kepada masyarakat setempat memahami dasar serta inisiatif kerajaan dalam memperkasa rakyat, usahawan, dan industri sejak setahun pelaksanaannya.

Dengan pelbagai aktiviti, perkhidmatan, dan peluang yang ditawarkan, program ini dijangka terus menjadi tarikan utama untuk rakyat di Zon Selatan dan sekitarnya, sekali gus memperkukuh komitmen kerajaan dalam melaksanakan agenda MADANI.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan