BELANJAWAN 2024 > BERITA

Kerajaan Peruntuk RM7.45 Juta Kerja Pembaikan Tiga Cerun Di Gua Musang

15/08/2024 05:17 PM

GUA MUSANG, 15 Ogos (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan RM7.45 juta bagi kerja pembaikan cerun di tiga lokasi di Gua Musang yang bakal memberi manfaat kepada hampir 5,000 penduduk.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata tiga lokasi yang terlibat ialah Seksyen 5.8 (Jalan Limau Kasturi-Bertam Baru), Seksyen 6.7 (Jalan Limau Kasturi-Bertam Baru) dan Seksyen 1.0 (Jalan Bertam Lama-Jerek).

"Pembaikan cerun di Seksyen 5.8 dan Seksyen 6.7 dijangka siap pada 16 Jan tahun depan dengan kos kontrak masing-masing bernilai RM2.89 juta dan RM2.2 juta.

"Kedua-dua jalan ini runtuh akibat air hujan berlebihan yang meresap ke dalam tanah cerun itu dan antara kaedah rawatan yang dilaksanakan iaitu menaik taraf sistem perparitan serta memasang perabot jalan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kemajuan kerja fizikal pembaikan cerun jalan negeri di Seksyen 5.8 dekat Kampung Limau Kasturi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata bagi pembaikan cerun di Seksyen 1.0, kemajuan kerja mencapai 42 peratus dan dijangka siap pada 16 Dis 2025 dengan kos bernilai RM2.36 juta.

"Runtuhan yang berlaku disebabkan sistem saliran perparitan yang tidak efisien dan hakisan cerun akibat penyerapan air yang berlebihan.

"Kaedah rawatan dengan membina 'tieback wall' di kawasan cerun yang runtuh, menurap jalan sedia ada, kerja-kerja rawatan tanah dan menaik taraf sistem perparitan," katanya.

Beliau berkata projek ini antara komitmen kerajaan dalam meningkatkan kualiti infrastruktur jalan raya yang selamat dan selesa terutama di lokasi yang terancam akibat kegagalan cerun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan