BELANJAWAN 2024 > BERITA

Kenaikan Gaji: Jangan Lupakan, Tangani Jurang Pencen Pesara Veteran ATM - Cuepacs

15/08/2024 06:09 PM

Oleh Ahmad Erwan Othman

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap pesara-pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpencen dan tidak berpencen, tidak dilupakan semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 esok.

Presidennya Datuk Dr Adnan Mat berkata kenaikan gaji untuk kakitangan awam adalah langkah positif, tetapi penting bagi kerajaan untuk juga menangani jurang pencen yang dihadapi oleh veteran itu.

“Rata-rata mereka ini berhempas pulas untuk meneruskan kelangsungan hidup disebabkan jurang antara jumlah pencen mereka dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Maka kita haraplah juga mereka ini diberikan pertimbangan khas sewajarnya, dengan mengingati pengiktirafan dan sumbangan mereka semasa berkhidmat untuk negara,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Beliau ditanya mengenai harapan CUEPACS berhubung pengumuman khas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan kenaikan gaji 1.5 juta penjawat awam, yang akan dibuat semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), esok.

Sehubungan itu, Adnan turut berharap satu pencerahan terperinci akan dibentangkan mengenai kumpulan-kumpulan yang akan mendapat kenaikan gaji serta peratusan kenaikannya semasa MAPPA itu.

Pencerahan terperinci itu menurut beliau adalah penting untuk memastikan penjawat awam dapat mencongak kadar gaji baharu mereka, selain kakitangan awam gred rendah akan menikmati gaji sekurang-kurangnya RM2,000 ke atas, sekali gus mampu mengatasi kos sara hidup yang tinggi pada masa kini.

“Apa pun, integriti, kecekapan, komitmen tinggi dan peningkatan prestasi perlu bergerak selari dengan kenaikan gaji yang bakal diterima penjawat awam dan janganlah juga cipta hutang baharu susulan pengumuman kenaikan gaji ini,” katanya.

Terdahulu kerajaan memberi jaminan bayaran pencen kepada lebih 931,000 pesara akan diselaraskan, selari dengan semakan gaji pegawai awam dalam Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zaliha Mustafa dalam jawapan bertulis di Parlimen baru-baru ini (4 Julai) memaklumkan secara dasarnya, pencen diterima pesara dan penerima pencen akan diselaraskan mengikut peruntukan Seksyen 3 Akta Penyelarasan Pencen 1980 (Akta 238).

Ketika menyampaikan amanat sempena sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei, Perdana Menteri mengumumkan skim gaji penjawat awam akan naik lebih 13 peratus, antara yang tertinggi dalam sejarah Malaysia dengan kenaikan akan berkuat kuasa pada 1 Dis tahun ini.

Menurut Anwar, perincian selengkapnya seperti mana yang dijanjikan kerajaan akan diumumkan melalui Belanjawan 2025, Oktober ini sebelum ia dilaksanakan 1 Disember kelak.

Minggu lepas, jurucakap Kerajaan Perpaduan merangkap Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan penjawat awam dalam kalangan kumpulan pelaksana, dijangka menikmati kenaikan gaji melalui SSPA sehingga 42.7 peratus.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan