BELANJAWAN 2024 > BERITA

Pemain Jepun, China, Perancis Jadi Rakan Sepelatih Buat Abu Samah, Yusshazwan - Jurulatih

15/08/2024 06:44 PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Beregu tenis kerusi roda negara Mohammad Yusshazwan Yusuf dan Abu Samah Borhan akan mendapatkan sentuhan rakan sepelatih daripada kalangan pemain Jepun, China dan Perancis menjelang Sukan Paralimpik Paris 2024 bermula 28 Ogos ini.

Jurulatih skuad tenis kerusi roda negara Ahmad Hazeeq Ahmad Hisham berkata sesi pemanas badan bersama beregu dari tiga negara itu akan diadakan lima hari sebelum acara bermula 30 Ogos ini.

“Undian bagi acara tenis kerusi roda akan diadakan dua hari sebelum pertandingan,” katanya kepada pemberita semasa sesi lawatan Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan Paralimpik 2024 Datuk R Subramaniam ke kem tenis kerusi roda di Pusat Tenis Nasional Tun Razak di sini hari ini.  

Dalam pada itu, Ahmad Hazeeq berkata persiapan dua pemain itu dalam acara beregu dan perseorangan kini sudah mencapai 85 peratus dan hanya perlu menambah baik beberapa perkara sebelum benar-benar bersedia untuk beraksi di temasya terbesar dunia itu. 

“Hanya perlu menyusun strategi untuk perlawanan sahaja, pada kali ini kita akan fokus kepada acara beregu, sasaran kita sekurang-kurangnya bawa balik pingat tapi kita lihat dulu bagaimana undian kelak,” katanya. 

Malaysia membariskan dua pemain berkenaan dengan  Mohammad Yusshazwan menerima slot itu melalui merit kerana menduduki ranking ke-30 dunia manakala Abu Samah memperoleh slot dwipihak. 

Sukan Paralimpik Paris 2024 menjadi penampilan ketiga buat Abu Samah selepas menyertai edisi Rio 2016 dan Tokyo 2020 manakala Mohammad Yusshazwan bakal membuat debut di Paris.  

Sukan Paralimpik 2024 di Paris, dijadual bermula 28 Ogos hingga 8 Sept ini.

Dalam memburu sasaran empat pingat emas kali ini, kontinjen para negara  bakal menyertai lapan acara di Paris 2024 iaitu memanah, olahraga, badminton, boccia, berbasikal, angkat berat, renang dan tenis berkerusi roda.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan