BELANJAWAN 2024 > BERITA

Jenazah Ibu Menteri Besar Kedah Selamat Dikebumikan

15/08/2024 07:41 PM

SIK, 15 Ogos (Bernama) -- Jenazah ibu Menteri Besar Kedah Allahyarhamah Meriam Ahmad, 74, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pau kira-kira pukul 5.45 petang ini.

Terdahulu jenazah Allahyarhamah dibawa ke Masjid Al-Ubudiah Sungai Pau untuk solat jenazah sebelum diusung ke tanah perkuburan yang terletak berdekatan. Solat jenazah diimamkan anak keempatnya, Sobri Md Nor.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Pau di sini berkata kali terakhir beliau pulang menziarahi ibu dan bapanya, Md Nor Taib, 83, minggu lepas, arwah kelihatan sihat dan berbual seperti biasa.

“Minggu lepas juga dia ajak anak cucu makan mi di Tanjung Dawai, dia berjalan cergas. Mak saya tak ada penyakit lain kecuali sakit jantung...injap lemah. Jantung dia pam darah beku ke otak, kena serangan strok dan jatuh kemudian dimasukkan ke hospital,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata kesemua 13 adik-beradiknya berada di sisi ketika ibunya ditidurkan sehinggalah menghembuskan nafas terakhirnya.

“Antara nasihat yang sering dia ingatkan kepada saya ialah dia minta saya jadi Menteri Besar seperti mana sewaktu saya mula menjawat jawatan itu dahulu - selalu ziarah orang susah,” katanya.

Allahyarhamah Meriam dimasukkan di Hospital Sik, Isnin lepas sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, dan menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB pada pukul 9.40 pagi tadi.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan