BELANJAWAN 2024 > BERITA

Pahang Kekal Penguasaan Acara Menembak SUKMA Sejak 2008

22/08/2024 04:36 PM

KUCHING, 22 Ogos (Bernama) -- Pahang mengekalkan penguasaan acara menembak Sukan Malaysia (SUKMA) dengan rekod  juara keseluruhan paling lama bagi tempoh 16 tahun sejak 2008.

Sukan menembak yang menutup tirai semalam menyaksikan kem Tok Gajah ternyata tiada tandingan apabila menyapu bersih 12 pingat emas, lima pingat perak dan empat pingat gangsa manakala Negeri Sembilan di tempat kedua dengan 12 pingat emas, tiga perak dan empat gangsa.

SUKMA 2024 menyaksikan Pahang mendominasi acara Air Pistol manakala Negeri Sembilan menguasai acara Air Rifle sepanjang temasya dwitahunan itu berlangsung di Lapang Sasar Menembak Sarawak.

Paling mencuri tumpuan ialah penembak Pahang, Cheah Zen Hong dan Negeri Sembilan Gan Chen Jie, pastinya berada dalam senarai perebutan gelaran Olahragawan dan Olahragawati SUKMA 2024 selepas masing-masing mengungguli acara Air Pistol dan Air Rifle dengan tujuh emas.

Ketua jurulatih acara pistol Pahang, Elena Sotnik ketika ditemui memuji komitmen anak buahnya dalam setiap pertandingan sehingga melepasi sasaran pingat emas pada temasya dwitahunan kali ini.

"Nasihat yang selalu saya berikan kepada mereka adalah supaya fokus hingga tembakan terakhir, jangan pernah berputus asa. Saya puji atlet menembak Pahang semuanya mempunyai disiplin tinggi, mereka tahu apa yang terbaik," katanya kepada pemberita.

Elena yang berasal dari Rusia itu berkata kejayaan anak buahnya menyapu bersih pingat emas acara pistol adalah pencapaian luar jangka.

Susulan itu beliau turut berjanji akan membotakkan kepala jika Pahang mempertahankan kejuaraan dalam acara menembak SUKMA di sini.

"Pasukan menembak acara pistol menunaikan janji. Mereka sangat komited, saya doakan mereka terus melakar kejayaan lebih besar selepas ini. Saya sudah berjanji dengan mereka akan botakkan kepala jika mereka menang pingat emas dan pertahan kejuaraan, saya akan tunaikan janji itu dan akan melakukanya di Kuantan nanti," katanya

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan